Nga Kor Ming enggan minta maaf isu kritik MAS

Tindakan ahli parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang memuat naik status mengenai insiden MH17 dalam Facebook miliknya amat dikesali.

Ahli parlimen DAP ini dilihat sengaja memuat status yang memperlekeh tindakan pesawat MAS MH17 yang menggunakan laluan udara komersial Ukraine sewaktu berlakunya nahas pesawat berkenaan yang ditembak jatuh.

Tindakannya mencetuskan provokatif dalam kalangan pengguna Facebook yang turut memberikan komen yang bersifat rasis dan membelakangkan maruah negara.

Malah turut mendapat perhatian daripada salah seorang ahli keluarga nahas pesawat MH17 yang meluahkan kekesalan atas sikap dan mentaliti yang amat dangkalnya yang mengambil kesempatan atas tragedi ini demi survival politik DAP.

Adalah memalukan apabila seorang ahli parlimen bersikap tidak sensitif dan angkuh dengan tidak menghormati ahli-ahli keluarga mangsa nahas MH17 ini.

Adalah lumrah dalam banyak isu, politikus pembangkang akan membelakangkan maruah negara dengan memainkan sentimen anti-BN semata-mata untuk meraih populariti namun dalam isu ini adalah teramat keterlaluan dan tidak harus dimaafkan.

Ini bukan sahaja tindakan seorang individu tetapi juga melibatkan sebuah parti politik yang saban hari gah berbicara tentang antirasisme dan kebencian namun pada masa yang sama secara tidak langsung menyebarkan propaganda rasisme, lebih-lebih lagi ketika negara berhadapan dengan satu krisis antarabangsa.

Kita marah apabila ahli parlimen seperti Bung Mokhtar Radin atau PERKASA mahupun ISMA membuat kenyataan berbaur provokatif tetapi pada masa yang sama kita seolah-olah menghalalkan apabila politikus sebegini mengeluarkan kenyataan yang amat mengguris hati, angkuh demi kepentingan politik dan partinya.

Di mana sebenarnya tahap pemikiran ahli politik pembangkang di negara ini?

Harus diakui, seperti segelintir menteri-menteri rejim BN, pembangkang juga memiliki ahli parlimen yang rendah intelektual dan angkuh serta biadab.

Bagi politikus pembangkang, ini hanyalah kes terpencil dan tiada nilai politikal padanya tetapi buat sekalian rakyat Malaysia ini adalah tentang manusiawi, tentang erti sebuah nilai kemanusiaan.

Menyedari kenyataan Facebook itu menerima kecaman orang ramai, Kor Ming kemudiannya memuat naik status berbunyi “Keadilan untuk MH17 dan Kami menyokong Najibrazak untuk menuntut keadilan kepada 295 penumpang dan krew MH17.”

LINK 1

LINK 2