Adun PAS Selangor takkan tandatangan akuan bersumpah sokong Wan Azizah

Seramai 13 lagi ADUN PAS di Selangor tidak akan menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail walaupun menyokong pencalonannya sebagai Menteri Besar baru Selangor.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali hanya memberikan kenyataan ringkas sewaktu ditanya tentang perkara itu pada sidang media pagi ini.

“Nak tandatangan atau tidak? Tak,” jawabnya ketika ditanya wartawan.

Jelasnya sebelum itu, soal SD itu “tidak dibangkitkan” dalam mesyuarat anggota jawatankuasa Pusat PAS pagi ini.

“Tak berbangkit itu maknanya taklah,” katanya lagi.

Sebelum ini PAS mencadangkan dua nama kepada Pakatan Rakyat bagi menggantikan Menteri Besar sekarang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selain Wan Azizah, PAS turut mencadangkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar yang baru.

Bagaimanapun, Pakatan akhirnya hanya menghantar nama Wan Azizah kepada pihak istana.

Sebelum ini, ADUN PAS Hulu Kelang Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin (Morib) menandatangani SD menyokong Wan Azizah ketika parti itu masih lagi menyokong Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun, Saari Sungib kemudiannya menjelaskan bahawa kehadirannya di sidang media bersama Wan Azizah itu, bukan untuk menyokong presiden PKR itu sebagai Menteri Besar Selangor, sebaliknya bertujuan menolak Khalid.

Sementara itu, dalam sidang media tengah hari ini, Mustafa turut membacakan kenyataan iringannya tentang pelantikan Menteri Besar Selangor.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS pada hari ini 25 Ogos 2014 bersetuju untik menyerahkan kepada perkenan dan kebijaksanaan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor dalam menentukan jawatan Menteri Besar Selangor,” katanya.