Anwar tolak calon MB lain selain isterinya

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan menamakan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor oleh Pakatan Rakyat, masih kekal dan tidak berubah.

Ketua Pembangkang itu berkata, tidak timbul isu berbangkit berhubung kononnya ada seorang lagi calon dinamakan sekiranya Wan Azizah tidak mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mengisi jawatan itu.

“Setakat ini keputusan (menamakan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor) kekal seperti yang dibuat minggu (Ahad) lalu. Ada yang bertanya berkenaan hal tanda tangan (akuan bersumpah), ia tak berbangkit langsung dan apa-apa langkah (peraturan) baru selain keputusan minggu lalu akan dirujuk kepada PAS,” katanya.

Anwar berkata, mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat dihadiri wakil PAS, DAP dan PKR semalam adalah berkaitan hal undang-undang berhubung pertukaran jawatan Menteri Besar sedia ada, tidak langsung ada perbincangan mengenai nama baru atau perubahan keputusan.

Timbul dakwaan semalam kononnya mesyuarat itu ada menyentuh berkenaan kemungkinan menamakan calon baru selain Wan Azizah.

Ditanya mengenai bila pimpinan Pakatan Rakyat itu akan mengadap Sultan Selangor bagi memaklumkan mengenai perkembangan semasa jawatan Menteri Besar itu, Anwar berkata ia terpulang kepada baginda.