Baik buruk Khalid Ibrahim dan nasib menantinya

Episod 3:

Tidak dinafikan TSKI merupakan seorang MB yang baik. Beliau mengambil alih Selangor dengan gaya pentadbiran Selangor Incorporated. Semuanya melebihkan dasar perniagaan ala-ala Thaksin Shinawatra, bekas PM Thailand. Benar sekali, usahanya berhasil sehingga Selangor mampu memiliki rezab dana negeri yang sangat besar jumlahnya.

Namun ada bezanya antara pentadbiran sebuah negeri dengan syarikat. Untuk sebuah negeri, apa yang kita mampu usahakan perlu dikembalikan kepada pembangunan masyarakat di dalam negeri, bukannya sampai sewaan kemudahan umum juga dinaikkan kerana nak buat duit melebihi khidmat terhadap rakyat.

Biar kami cerita dari kisah kami sendiri tentang apa yang terjadi dalam salah satu syarikat yang telah diwakafkan kepada kami. Syarikat itu menyewa di Kompleks 3C di Sunway, premis umum yang disewakan konon untuk membantu pelbagai jenis perniagaan.

Semasa pembentangan bersama ahli-ahli majlis MPSJ, mereka telah bersetuju menyewakan pada kadar RM5000 sebulan untuk semua ruang galeri yang setiap lantai hanya seluas 400 kaki persegi (kp) dan 3 lantai akan berjumlah 1200 kp sahaja. Namun keputusan itu dicantas oleh bahagian pejabat penilai yang membuat penilaian semula menjadikannya berjumlah melebihi RM35,000 sebulan. Ini menyamai atau lebih mahal dari premis perniagaan swasta berdekatan seperti Amcorp Mall.

Akhirnya kami membawa diri ke Bandar Baru Bangi dengan keluasan lantai melebih 15,000 kp dengan sewaan hanya RM23,000 sebulan. Moralnya ialah sewa premis swasta di luar jauh lebih murah dari sewaan di premis MPSJ. Sudahnya, keseluruhan Kompleks 3C yang dahulu dibina dengan dana sekitar RM30 juta itu menjadi sunyi dan tiada pengunjung. Lot-lot sewaan terus sepi tanpa ada manusia yang kurang cerdik untuk mahu membayar sewaan sebanyak itu untuk premis terpencil begitu.

Itu tidak termasuk lagi dengan masalah kenaikan cukai pintu, isu tanah TOL, isu sampah dan sebagainya. Patutlah MB Khalid Ibrahim mampu buat banyak duit untuk menaikkan rezab negeri. Rupanya telah dikerah sehingga ke akar umbi untuk membuat keuntungan. Ada yang kata kerana tabungan yang banyak itu membuatkan PKR ingin menyedut dana untuk kegunaan parti. Sikap lurus TSKI telah menyukarkan urusan itu lalu menambah kebencian terhadapnya.

Apabila YAB PM, musuh ketat DSAI dijemput menghadiri Majlis Berbuka Puasa Kerajaan Negeri baru baru ini maka kita sudah dapat membaca yang akan ada satu bencana bakal menimpa dirinya.

Isu besar tentang pinjaman RM 217 juta oleh TSKI dari Bank Islam untuk membeli 5% saham Gutrie dan mendapat penyelesaian luar mahkamah berjumlah 70 juta turut dijadikan isu. Berita itu disebarkan secara terbuka untuk mengaibkan TSKI bagi menampakkan ada konspirasi antara beliau dengan kerajaan pusat. Untuk bersangka baik, itu adalah urusan perniagaan peribadi sebelum beliau jadi MB lagi, dan kejayaan membeli Gutrie syarikat bekas penjajah itu juga adalah satu kejayaan Nasional.

Isu yang dimainkan oleh DSAI, tentang isu air adalah kerana ia juga menjadi asbab keakraban TSKI dengan kerajaan persekutuan. Sebagai MB yang bertanggungjawab, TSKI cuba meletakkan kepentingan rakyatnya mendahului kepentingan parti. Kadangkala kita terfikir, alangkah keringnya hati DSAI yang tetap dengan pendiriannya sedangkan keperluan amat mendesak. Tergamakkah seorang MB melihat rakyat tadbirannya mengangkut air dengan baldi ke tingkat 5 sebuah flat kos rendah?

Dalam konteks itu, MB Khalid telah dikatakan derhaka kepada ketuanya DSAI. Namun jika arahan seorang pemimpin itu bersifat batil, maka kami tidak lihat ia satu penderhakaan, bahkan ia satu langkah untuk membela rakyat berbanding kepentingan partinya.

Semua sengketa ini tidak membawa ke mana-mana selain perpecahan yang lebih parah lagi. Digabung dengan beberapa isu lain maka PAS semakin menerima ancaman dipinggir oleh sekutu PR, khususnya DAP, sehingga TGNA umumkan PAS sedia untuk kembali bergerak sendirian.. sedih bukan?

Di Selangor pula, Jika PAS (15 kerusi) dan BN (12) berdiri di belakang MB Khalid sekalipun, ia tetap tidak berada dalam fasa stabil untuk menghadapi PKR (13) dan DAP (15). TSKI telah mendapat sokongan kuat dari dari rakyat dan Sultan Selangor, namun dari segi administrasi di DUN beliau agak tersepit. Pilihan yang ada ialah untuk PAS yang selama ini digunakan oleh DAP dan PKR itu bergabung dengan BN.

Sementara itu pasti ada sebahagian ADUN PKR yang berakal dan akan menyebelahi TSKI untuk menstabilkan keadaan. Akhirnya tinggallah DAP dan cebisan PKR yang masih toktok di bawah pengaruh perjuangan peribadi DSAI. Inilah masanya untuk bersatu meraikan perbezaan dan mencari persamaan dengan penyatuan atas dasar Islam itu sendiri.

Untuk DSAI, ingatlah kembali Deklarasi Permatang Pauh 1998 yang antaranya melarang dari membenci dan melaknat, nepotisme, kronisme dan rasuah. Hampir semuanya telah di langgar. Kepada orang kuat kiri kanan DSAI, mulalah banyakkan nasihat kepadanya agar tidak lagi mengulangi langkah sia sia seperti langkah Kajang ini. Jangan keterlaluan dalam melaksanakan tanggungjawab dan menghukum.

Warga Prihatin
www.prihatin.net.my