Dewan ulama PAS pusat gesa pecat 2 adun PAS sokong Wan Azizah

Kumpulan Ulama PAS memberi tekanan kepada pimpinan parti supaya memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin kerana melanggar arahan dan membelakangi parti semasa krisis di Selangor.

Kedua-dua Adun tersebut bertindak menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar baharu ketika parti Islam itu belum membuat keputusan rasmi mengenainya.

Ahli Majlis Syura Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata kedua-dua Adun Hulu Kelang dan Morib tersebut wajar dipecat.

“Dalam kita berorganisasi, apabila pemimpin terbabit terlalu lantang dan bertindak mendahului pucuk pemimpin, ini menunjukkan mereka tidak patuh kepada disiplin parti.

“Maka dalam hal ini, Saari dan Hasnul memang wajar dikenakan tindakan termasuk dipecat.

“Apa pun, kita tunggu jawatankuasa disiplin parti untuk melakukan yang terbaik kepada kedua-dua mereka,” katanya dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Sementara itu, di pantai timur, Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu juga tampil mendesak tindakan sama terhadap kedua-dua mereka.

Usul dibentangkan timbalan ketuanya Dr Abu Bakar Abdullah dalam muktamar mereka semalam.

Beliau berkata, siasatan perlu dijalankan dan jika didapati bersalah kedua-duanya perlu dipecat keahlian berdasarkan Perlembagaan PAS Fasal 82(6)(d).

“Dua Adun PAS itu bertindak membelakangi keputusan parti dalam isu menteri besar Selangor, selain mencabar parti dengan kesediaan untuk diambil tindakan,” katanya lapor Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, bagi kesalahan tersebut, mana-mana pemimpin yang didapati bersalah boleh diambil tindakan berdasarkan Perlembagaan Pas fasal 82(6)(b) iaitu hak mereka dalam parti dilucutkan.

Usul itu kemudian, disokong dan diluluskan kesemua 64 perwakilan dari 8 kawasan Parlimen di Terengganu.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengesahkan hanya dua Adun PAS tersebut menandatangani akuan berkanun menyokong Dr Wan Azizah tetapi 13 lagi Adun tidak berbuat demikian.

Ketika kemelut di Selangor berada dalam keadaan tegang menanti PAS yang masih belum membuat keputusan, Saari dan Hasnul mengambil langkah menyokong Dr Wan Azizah secara terbuka.

Langkah tersebut menyebabkan mereka menerima kritikan dan kecaman daripada parti sendiri.

Bagaimanapun, mereka sedia berdepan sebarang tindakan disiplin yang bakal diambil.