Enggan letak jawatan, Khalid degil macam Anwar!

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin menyatakan apa yang dilakukan oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditiru oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang enggan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Menurutnya, jika diimbas kembali, pada tahun 1998 Anwar turut enggan meletakkan jawatan dan mengundurkan diri.

“Jadi kita janganlah terperanjat kalau Abdul Khalid juga mengamalkan strategi yang serupa, iaitu menunggu disingkir dan bukan meletakkan jawatan. Bapa borek anak rintik.

Alasannya mudah saja. Kalau letak jawatan, beliau akan hanyut begitu saja dan akan ada orang yang percaya beliau telah melakukan sesuatu yang buruk seperti yang dibayangkan oleh Saifuddin,” katanya dalam posting blognya yang terbaru.

Jelasnya lagi, sekiranya beliau (Khalid) mempertahankan kedudukan dan dipecat, beliau akan dianggap hero oleh sesetengah pihak serta dihormati manakala yang lain pula menganggap beliau mangsa konspirasi dan akan mula memberi simpati; sepertimana Anwar di anggap mangsa konspirasi Tun Mahathir.

Dalam masa yang sama, Kadir turut memberi amaran, sekiranya pilihan raya negeri (PRN) dilakukan sebagai penyelesaian mutakhir, ia adalah berbahaya bagi PR.

“Setelah kekecohan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, rakan-rakan kongsi PKR dan pengundi mungkin tidak mahu lagi diperkotak-katikkan oleh Anwar dan kelompoknya,” katanya.

Jelasnya, inilah dilema PR di Selangor sekarang. PAS yang merupakan parti terbesar dalam DUN dan DAP (kedua terbesar) sedang diseret masuk ke dalam lanyau politik PKR yang berkisar mengenai Anwar, keluarga dan pengikut tegarnya.

“Kita telah lihat bagaimana kemelut dalam PKR menumbangkan kerajaan PR Perak pada tahun 2009 dan sekali gus membolehkan BN mengambil alih kuasa.

“Cuma hal ini mustahil berlaku di Selangor kerana BN tertinggal terlalu jauh ke belakang untuk mengambil kesempatan. Ia adalah parti terkecil dalam DUN Selangor.

Kalau PRN diadakan pun, BN belum tentu boleh memperbaiki prestasi dengan barisan kepemimpinan yang ada bahkan BN Selangor memerlukan “overhaul” besar-besaran,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, Kadir turut menjelaskan bahawa inilah nasib yang perlu dihadapi oleh rakyat Selangor.

“Bila si Luncai terjun ke sungai dengan labu-labunya, kita tidak ambil kisah sangat. Yang dia bawa terjun itu labu-labu miliknya sendiri.

“Tetapi kalau orang politik terjun ke sungai, kita perlu bimbang sebab labu-labu yang dibawanya itu adalah milik kita. Kitalah yang memberikan mereka labu-labu itu. Kalau mereka curi sekali pun, mereka curi daripada kita dan labu-labu curi itu tetap milik kita,” ujarnya.

Selain itu, beliau yang juga merupakan bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times itu menyatakan ingatkan bila ada pembangkang yang kuat, kerajaan akan menjadi lebih terbuka, berjaga-jaga, telus dan lurus.

“Rupa-rupanya dua kali lima. Pembangkang pun sama, baru dapat sikit saja kuasa, sudah naik tocang, hilang akal, rebut kuasa, kumpul harta,” katanya.