Hishamuddin Abdul Karim ketua DPPKN gesa pecat pengkhianat dalam PAS

“Sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kalangan segelintir pimpinan PAS amat mendukacitakan pendukung PAS di semua peringkat.”

Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Nerus (DPPKN), Hishamuddin Abdul Karim sangat kecewa dan kesal dengan tindakan segelintir pimpinan PAS Pusat yang mengambil sikap merendah-rendah dan memperlekehkan kredibiliti Presiden PAS di khalayak umum.

Menurut beliau, ekoran pergolakan dalaman PKR berkaitan isu Menteri Besar Selangor, ia turut mempamerkan pergeseran dalaman PAS yang dilihat makin meruncing dan membimbangkan.

Terbaru, melalui forum Krisis Selangor Pakatan Berpecah pada 5 Ogos yang lalu di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor lebih menyerlahkan sikap segelintir pimpinan PAS yang dimaksudkan.

“Penampilan Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin sebagai seorang panelis atas tiket PAS yang merendahkan Presiden PAS amat menikam jiwa seluruh penyokong PAS di semua peringkat.

“DPPKN mendesak Jawatakuasa Disiplin dengan lunas-lunas peruntukan yang ada mengambil tindakan proaktif dan tegas termasuk memecat keahlian “pengkhianat” parti yang menzahirkan wajah “musang berbulu ayam”, “duri dalam daging” atau “gunting dalam lipatan” kepada PAS,” katanya dalam satu kenyataan media.

DPPKN juga menggesa Hanifa Maidin dan lain-lain kepimpinan supaya memiliki sikap yang sama dengan barisan kepimpinan PAS Pusat.

“Tindakan ini wajar demi menjaga bahtera ini daripada terus “ditebuk” dari dalam. Keceluparan mulut dan kebiadaban tingkah laku pemimpin seperti Y.B Hanifa Maidin dan lain-lain perlu diubah dengan proses disiplin yang lebih tegas bagi memperkukuhkan perpaduan dan kekuatan PAS,” jelasnya.

Tambah beliau, DPPKN begitu terkejut dengan kenyataan sedemikian rupa lahir dari barisan kepimpinan PAS Pusat. Cukup mengejutkan, dalam pentas terbuka Presiden PAS dihentam oleh salah seorang AJK PAS Pusat.

“Perjuangan yang didasari dengan keadilan Islam dan berpedomankan Al-Quran dan As-Sunnah seperti sudah tidak lagi dihayati dengan sebaiknya. Ia memberi kesan yang sangat menakutkan untuk generasi pelapis kepimpinan ummah,” katanya.

Tegasnya lagi, sokongan yang dicurahkan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebenarnya sudah cukup untuk memberikan ketenangan kepada seluruh pendokong parti.

“Apakah kini, arahan dan pandangan Mursyidul Am dan Presiden PAS sudah mula dipandang rendah oleh kepimpinan parti sendiri?

“DPPKN mengajak seluruh pencinta perjuangan Islam ini untuk memperkukuhkan barisan dan terus bermunajat kepada Allah agar diberi kekuatan kepada Hadi menghadapi ujian ini seterusnya menghancurkan usaha-usaha khianat dan jahat yang berterusan mahu menenggelamkan bahtera perjuangan ini,” ujarnya.

LINK