Jawatan ketua umum PKR tidak diiktriraf parti

Adakah cara untuk memecat Anwar dari PKR?

Anwar kekal memimpin PKR melalui satu jawatan yang tidak perlu dipertandingkan, lebih-lebih lagi apabila jawatan tersebut tidak diiktiraf di bawah struktur organisasi PKR – ia memberi kesimpulan bahawa Anwar mengatasi Perlembagaan PKR.

Bahkan semua pembaharuan, misalnya had tempoh jawatan Presiden kepada tidak melebihi tiga penggal atau sembilan tahun, langsung tidak bermakna kerana tiada sekatan terhadap bidang kuasa, apatah lagi tempoh perkhidmatan Anwar Ibrahim.

Seperti yang diketahui di dalam struktur organisasi PKR, jawatan Ketua Umum tidak wujud dalam perlembagaan parti dan PKR meletakkan Presiden sebagai pemimpin utama parti serta bertanggungjawab menjaga perjalanan parti.

Namun jawatan Ketua Umum ‘diadakan’ dan diberikan kepada Anwar pada 2008 tanpa pemilihan. Anwar dilihat memainkan peranan besar menerusi kedudukannya sebagai pemimpin paling layak dan berupaya ‘mengikat’ tiga parti pembangkang iaitu PKR, DAP dan PAS.

Dengan kata lain, ia menjadi satu sindiran terhadap dirinya apabila membincangkan konsep rule of law. Fasal 13.2 Perlembagaan PKR menyatakan, “Kongres Nasional Parti adalah kuasa tertinggi Parti, dan perjalanan Parti adalah berasaskan kepada kuasa dan perintahnya tertakluk kepada Perlembagaan dan juga peraturan Parti.”

PKR wajar mengambil iktibar daripada jenaka yang dilontarkan terhadap rakan komponen Pakatan Rakyat, DAP. Untuk beberapa dekad yang lalu, parti DAP disamakan dengan seorang individu bernama Lim Kit Siang. Beliau menyandang jawatan Setiausaha Agung DAP untuk hampir 30 tahun, kemudian memegang jawatan Pengerusi, dan kini diberi jawatan Ketua Parlimen DAP. Ramai yang tertanya-tanya, jawatan manakah yang mempunyai kuasa terbesar dalam DAP?

Ketika Lim Kit Siang (gambar kanan) menjadi Setiausaha Agung, jawatan itulah yang paling berkuasa. Tetapi apabila Lim Kit Siang menyandang jawatan Pengerusi pula, beliau dilihat lebih mendominasi daripada Setiauasaha Agungnya ketika itu, Kerk Kim Hock. Sehingga kini, peranan beliau masih menonjol jikalau dibandingkan dengan jawatan yang lain dalam parti. Maka, sindirannya begini, Lim Kit Siang seolah-olah telah diinstitusikan sebagai satu jawatan, dan jawatan Lim Kit Siang inilah yang memegang kuasa terbesar dalam DAP.

Jadi, Anwar terpaksa menelan air liur seandainya tuduhan “Anwar=PKR”, “perjuangan PKR untuk Anwar” dilemparkan terhadap dirinya. Malah, mungkin beliau perlu berpening kepala jikalau diajukan soalan, “Apakah ini politik baru yang dimaksudkan PKR?”.

Semestinya Anwar akan menuding jari kepada BN, yang didakwanya sedang menunggu-tunggu kesempatan untuk menyumbatkannya ke dalam penjara. Jawapan tersebut biarpun meringankan beban tanggungjawabnya, namun tetap tidak meyakinkan.

Soalan pertamanya, apakah Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dan Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) tidak berdepan dengan risiko sedemikian? Lebih dahsyat, jikalau risiko ini membelenggu Anwar seumur hidup, apakah ia bererti Anwar akan kekal dengan Ketua Umum PKR seumur hidup? Soalan selanjutnya, siapa pula Ketua Umum yang seterusnya?

Jawapan : Anwar Ketua Umum yang dilantik secara ‘demokerusi’ buat selamanya. Noktah.

*Cebisan artikel oleh Lim Hong Siang & The Malaysian Times.