KDNK Malaysia Q2 berkembang 6.4%

Tahniah Malaysia dan pentadbirannya.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 6.4 peratus pada suku kedua berbanding 6.2 peratus yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini, dipacu oleh eksport yang lebih tinggi dan permintaan dalam negeri swasta yang terus meningkat, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Pada kedudukan semasa, KDNK suku kedua berjumlah RM262.8 bilion.

Zeti berkata prestasi yang dicapai lebih tinggi berbanding 4.5 peratus yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Eksport mencatatkan prestasi yang bertambah baik pada 8.8 peratus manakala import dengan pertumbuhan 3.9 peratus.

“Eksport dan aktiviti sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan semasa suku tahunan dengan pelaburan wsata berkembang 12.1 peratus, mencerminkan pelaburan dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.

“Penggunaan swasta meningkat sebanyak 6.5 peratus disokong oleh keadaan pekerjaan yang stabil dan pertumbuhan gaji berterusan manakala perbelanjaan sektor awam susut 2.1 peratus,” kata beliau pada taklimat media mengenai prestasi KDNK suku kedua negara di sini Jumaat.

Beliau berkata sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak enam peratus, disokong terutamanya oleh subsektor berkaitan perdagangan, sektor pembuatan berkembang 7.3 peratus dan sektor perlombongan meningkat 2.1 peratus disebabkan pengeluaran lebih tinggi dalam minyak mentah dan gas asli.

Sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 7.1 peratus, mencerminkan pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi manakala sektor pembinaan berkembang 9.9 peratus disokong terutamanya oleh subsektor kediaman dan bukan kediaman.

Lebihan dagangan berkurangan kepada RM18.4 bilion bagi suku dalam kajian berbanding RM26.3 bilion pada suku sebelumnya manakala rizab antarabangsa Bank Negara berjumlah RM423.5 bilion pada 31 Julai, memadai untuk membiayai sembilan bulan import tertangguh.

Mengenai ringgit, berkata mata wang tempatan akan terus dipengaruhi oleh aliran modal dan kecairan global.

“Antara 1 Julai dan 13 Ogos, 2014, ringgit menambah nilai berbanding dolar AS sebanyak 0.6 peratus, 2.7 peratus berbanding euro, dolar Australia (2.1 peratus), pound sterling (2.0 peratus) and yen Jepun (1.6 peratus),” katanya.

– BERNAMA