Kerajaan tidak kompromi pihak perlekeh institusi Raja

Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mempertikai dan memperlekeh institusi diRaja di negara ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata adalah menjadi tanggungjawab kementeriannya menerusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mempertahankan institusi diRaja yang sering kali dicabar oleh pihak tertentu.

“Pendirian kementerian saya dan Angkatan Tentera jelas, kita tidak kompromi malah dituntut untuk mempertahankan institusi diRaja. Institusi diRaja seperti agama dan apa sahaja perkara yang termaktub dalam perlembagaan dan undang-undang negara merupakan tiang seri ‘pillar of nation building’ (tonggak pembinaan negara).”

Beliau berkata sekiranya kementerian itu dan ATM tidak memikul tanggungjawab ini dengan serius, akan ada pihak tertentu memperlekehnya dari segi agama, kaum dan Raja-Raja Melayu.
Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pihak yang memperlekeh institusi diRaja di negara ini.

Dalam pada itu, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata pihaknya menganggap institusi diRaja sebagai sebuah institusi suci yang harus dipertahankan.

“Ini disebabkan Yang di-Pertuan Agong merupakan pemerintah yang tertinggi dalam ATM manakala Raja-Raja Melayu pula merupakan kolonel-kolonel yang dipertua sama ada kor dalam tentera darat, laut dan udara.

“Semua warga ATM akan terus mempertahankan kesucian institusi diRaja sekiranya terdapat sebarang perbuatan mencela. Warga ATM tidak sesekali memandang ringan dengan segala tohmahan yang dilempar kepada Raja-Raja Melayu,” katanya.