Khalid beri amaran tegas kepada Pakatan Rakyat!

Seakan sudah bosan dengan permainan Anwar Ibrahim dan rakannya dalam Pakatan Pembangkang, Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim memberi amaran bahawa jika beliau disingkirkan pentadbiran negeri Selangor akan diberikan kepada Barisan Nasional sekaligus membuatkan Pakatan Pembangkang akan putih mata.

“Saya beri amaran kepada Pakatan Rakyat (PR) jika saya disingkirkan, negeri Selangor akan balik kepada Barisan Nasional.”

“Saya tidak akan undur diri. Tetapi saya minta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kemukakan undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) jika itu yang mereka mahu,” kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tanpa berselindung atau mungkin sudah muak dengan karenah ahli dan pemimpin parti, Menteri Besar Selangor itu menjelaskan masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini sudah tidak boleh disorok lagi dan sangat memalukan.

“Saya tidak mahu bercakap banyak mengenai masalah tetapi apa yang berlaku sepatutnya tidak berlaku.

Menurut Khalid Ibrahim, PKR sepatutnya malu dengan permasalahan dalaman yang berlaku sekarang ini selain daripada isu Pemilihan PKR 2014 yang sehingga kini masih belum selesai. Amatlah memalukan bila orang luar melihat perangai ahli PKR.

“Terus terang saya nyatakan di sini, bukan ugutan tetapi jika saya dipaksa meletak jawatan dengan cara ini, saya amat yakin Selangor akan dirampas oleh BN dengan mudah nanti,” tegasnya.

Selangor terus bergolak selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 apabila ada pihak dalam PKR tidak setuju khidmat Khalid disambung walaupun mendapat sokongan penuh Pas dan DAP.

Perkara mengenai singkirkan Khalid Ibrahim daripada jawatan Menteri Besar Selangor bukan baru lagi bahkan sudah kedengaran apabila beliau dilantik dan dipersetujui pemimpin Pakatan Pembangkang selepas kemenangan mereka dalam PRU-13 lepas.

Cumanya Langkah Kajang yang diperkenalkan Rafizi Ramli pada bulan Mac 2014 menguatkan lagi strategi pemimpin PKR yang mahu menjatuhkan Khalid Ibrahim.

Begitupun, bagi rakyat Selangor, mereka melihat krisis kepimpinan pentadbiran Selangor yang diterajui PKR itu sebenarnya didalangi pemimpin PKR sendiri yang sebelum ini kecewa kerana tidak diberikan projek di sepanjang pemerintahan Khalid Ibrahim.