Khalid buat laporan SPRM setelah dicabar Saifuddin Nasution

Jika semalam PKR sibuk mengeluarkan dokumen 91 muka surat cerita itu ini, kononnya untuk melondeh Khalid berkaitan rasuah dan salahguna kuasa beliau, hari ini (Rabu) Khalid menghantar wakil membuat laporan SPRM ke atas dirinya sendiri untuk membersihkan namanya dari segala dakwaan yang dikemukakan sebelum ini oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.

Khalid sudah pun mencabar Saifuddin untuk laporkan kepada SPRM jika segala dakwaan-dakwaan mengenai dirinya adalah benar. Namun, nampaknya Saifuddin dan PKR tidak berani untuk kehadapan membuat aduan rasmi. Khalid pula terpaksa usahakan inisiatif sendiri untuk ‘tolong laporkan’ bagi pihak mereka (yang mendakwa/menuduh).

Seperti yang dilaporkan oleh Malaysian Insider;


Ketua setiausaha sulit kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini terhadap dakwaan perlakuan rasuah yang dilakukan oleh beberapa pemimpin PKR.

Mohamad Yasid Bidin tiba di pejabat SPRM Shah Alam sekitar jam 3 petang tadi sambil dilihat membawa dokumen yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Turut kelihatan ialah kedua-dua setiausaha politik Khalid, Mustapha Mohd Talib dan Azman Abidin, Timbalan Ketua Pemuda PKR Khairul Anuar Ahmad Zainuddin serta beberapa lagi ahli PKR.

“Hari ini saya membuat laporan kepada SPRM berkenaan surat aduan dakwaan salah laku yang dilakukan menteri besar.

“Sebagai kakitangan di pejabat menteri besar, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk serahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan,” kata Yasid kepada pemberita di Shah Alam.

Katanya, Khalid yakin beliau tidak melakukan sebarang kesalahan seperti didakwa Saifuddin. Justeru, perkara itu perlu dibawa kepada SPRM bagi membolehkan kertas siasatan dibuka.

Beliau berkata, pihak yang mengemukakan dakwaan sehingga hari ini gagal menyerahkan sebarang laporan kepada SPRM. Oleh itu, atas inisiatif sendiri, pihak pejabat Khalid mengemukakan laporan berkenaan.

Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata akan mendedahkan sebab di sebalik usaha PKR menyingkirkan Khalid sebagai menteri besar dan menggantikannya dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Saifuddin berkata antara kandungan laporan tersebut termasuk kes-kes mahkamah yang boleh dipertikai mengenai integriti Khalid sebagai seorang penjawat awam.

Antara yang didakwa Saifuddin adalah sebuah kes yang diselesaikan di luar mahkamah membabitkan saham Kumpulan Guthrie Berhad bernilai RM66.67 juta semasa Khalid memegang jawatan ketua pegawai eksekutif syarikat itu.

Khalid dalam bagaimanapun menafikan dakwaan beliau terlibat dalam salah laku dan mencabar PKR melaporkan perkara tersebut kepada SPRM.

“Saya memandang serius tuduhan salah laku yang dilemparkan Saifuddin. Saya menafikan dakwaan ini kerana ia tidak benar sama sekali,” kata Khalid.

“Sekiranya Saifuddin yakin beliau juga berada di pihak yang benar, maka beliau dan rakan-rakan dalam PKR sepatutnya membuat laporan dengan kadar segera kepada SPRM dan Bank Negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasminya.

Khalid dalam kenyataannya turut menyatakan kesediaan bekerjasama jika disiasat pihak berkuasa.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan kesediaan memberikan sepenuh komitmen dan kerjasama sekiranya ada siasatan dijalankan terhadap saya,” katanya.