Khalid Ibrahim cabar Saifuddin Nasution lapor SPRM

Khalid strikes back!

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencabar Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika dakwaan “keraguan integriti” terhadapnya itu benar.

Dalam kenyataannya petang ini, Khalid menafikan tuduhan ‘salah laku’ yang dilemparkan terhadapnya sekaligus memandang serius dakwaan Saifuddin berhubung isu penyelesaian hutang beliau dengan sebuah bank.

“Sekiranya Datuk Saifuddin yakin beliau juga berada di pihak yang benar, maka beliau dan rakan-rakan dalam KEADILAN sepatutnya membuat laporan dengan kadar segera kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara Malaysia selain mendedahkan sekiranya ada bukti-bukti bagi mengukuhkan dakwaan salah laku itu,” katanya.

Khalid mengulas pendedahan Saifuddin antara lain mendakwa beberapa urusan perniagaan melibatkan kerajaan negeri dan sebuah syarikat pemaju bernilai ratusan juta ringgit yang berlaku selepas penyelesaian hutang itu sehingga kini tidak dijelaskan secara memuaskan oleh Khalid.

Selain itu Saifuddin turut mendakwa Khalid turut memberi projek rumah mampu milik Selangor bernilai RM591 juta kepada syarikat sama.

Dalam kenyataan yang sama, Khalid turut menegaskan kegagalan kepimpinan PKR memberikan bukti menyokong dakwaan terhadapnya hanya mengundang spekulasi bahawa tuduhan itu “berniat jahat dan bermotifkan politik”.

Malah, beliau juga mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan fitnah yang dilemparkan terhadap beliau.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan kesediaan untuk memberikan sepenuh komitmen dan kerja sama sekiranya ada siasatan dijalankan terhadap saya.

“Pada masa yang sama, saya akan meneruskan keupayaan memberi khidmat terbaik kepada rakyat Selangor dengan mentadbir negeri ini secara telus, bertanggungjawab dan pentadbiran yang baik,” katanya.

SUMBER