Khalid Mahu Tubuh Parti Baru

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bakal menubuhkan sebuah parti politik baru bagi berdepan segala kemungkinan dalam kemelut penyingkirannya sebagai menteri besar Selangor.

Bekas setiausaha politiknya, Faekah Husin juga menafikan bahawa Khalid berhajat untuk kekal sebagai menteri besar, sebaliknya segala urusan peralihan perlu berpandukan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

“Khalid bakal menubuhkan parti baru. Saya rasa lebih baik kita tunggu dan lihat apa tindakan beliau selanjutnya.

“Pendirian Khalid yang kini cuba digambarkan kononnya beliau dalam apa cara sekalipun mahu mempertahankan jawatan MB, itu adalah gambaran jahat.

“Tidak tepat mengatakan Khalid begitu kerana beliau sudah beberapa kali menyatakan pelantikan dan pemecatan menteri besar hendaklah dilakukan secara teratur, tertib dan berhemah,” katanya dalam satu wawancara hari ini.

DOKUMEN ANTI-MB SEPERTI ’50 DALIL’ ANWAR.

Dokumen pembongkaran masalah “integriti” Tan Sri Khalid Ibrahim oleh PKR agak mirip dengan buku 50 Dalil kenapa Anwar Tak Boleh Jadi PM, kata bekas setiausaha politiknya Faekah Husin.

“Dossier (dokumen) yang dikeluarkan oleh OKR sebagai alasan untuk menjadikan pemecatan Abdul Khalid sebagai sah dan halal, agak mirip dengan 50 Dalil yang dikeluarkan suatu ketika dahulu,” katanya dalam wawancara dengan Berita Harian.

Buku kontroversi tulisan Khalid Jafri itu dikeluarkan menjelang pemecatan Anwar sebagai timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Faekah, kini ketua eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, juga dilapor berkata, Khalid justeru tiada pilihan selain membersihkan namanya.

“Manusia yang mempunyai akal, harga diri dan maruah akan melakukan perkara sama seperti Abdul Khalid,” katanya lagi dalam wawancara itu.

Faekah juga membangkitkan bagaimana Khalid kini digambarkan sebagai “manusia yang buruk sekali”, daripada “seorang model pemimpin kepada pemerintahan Pakatan Rakyat”.