Khalid masih MB walaupun berstatus bebas

Adakah dipecat dari parti politik menjadikan menteri besar, ketua menteri atau perdana menteri secara automatik hilang kelayakan dan wajib melepaskan jawatan?

Dalam konteks undang-undang perlembagaan negara kita, seorang menteri besar, ketua menteri atau perdana menteri layak dilantik dan kekal dalam jawatan sekiranya dia adalah seorang ahli Dewan dan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan, bukan parti politik yang dia mendapat tiket atau menang pilihan raya.

Hakikat undang-undang di Malaysia, menteri besar, ketua menteri atau perdana akan kekal memegang jawatannya sehinggalah hilang kepercayaan majoriti AHLI DEWAN.

Dalam kemelut Selangor, sekiranya dipecat parti politiknya adakah menteri besar masih kekal sebagai menteri besar?

Hakikat peruntukan undang-undang ialah, menteri besar akan hilang kelayakan sekiranya hilang kepercayaan ahli Dewan. Adakah dipecat parti politik MB menunjukkan hilang kepercayaan ahli Dewan? Jawapannya tidak. sebab peruntukan undang-undangnya jelas, ahli Dewan dan bukan parti politiknya.

Hakikat undang-undang, rakyat tidak mempunyai suara dalam lantikan atau kepercayaan kepada menteri besar, ketua menteri atau perdana menteri. Lantikan dan kelayakan ditentukan melalui kepercayaan ahli Dewan yang dipilih rakyat. Pada awal lantikan Sultan yang menentukan kepercayaan dengan hemat baginda.

Oleh itu, hakikatnya sekarang, kerajaan pakatan rakyat di Selangor telah runtuh. Diruntuhkan PKR dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah menteri besar bebas yang tiada halangan dalam Perlembagaan selagi dia mendapat kepercayaan majoriti.

Selagi tiada undi tidak percaya selagi itulah Abdul Khalid boleh jadi menteri besar. Sultan tidak boleh pecat menteri besar selagi tiada undi tidak percaya. Dan Sultan tidak boleh bubar Dewan selagi tiada permintaan.

Petikan artikel oleh:
PROF MADYA DR SHAMRAHAYU AB AZIZ adalah Felo Utama, Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

SUMBER