Khalid mungkin bubar Dun Selangor

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menolak kemungkinan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai langkah menyelesaikan krisis kepimpinan yang melanda negeri itu.

Bagaimanapun, beliau berkata segala keputusan akan diambil setelah beliau mendapat nasihat dan perkenan Sultan Selangor.

“Itu (semua keputusan termasuk bubar DUN) perlu dibincangkan dengan Sultan terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita pada majlis tahlil dan doa selamat sempena ulang tahun ke-50 Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Masjid Negeri di sini, malam ini.

Abdul Khalid enggan mengulas ketika ditanya sama ada beliau berbincang dengan empat anggota exco kerajaan negeri daripada PAS untuk membubarkan DUN pada November ini.

Khalid Ibrahim juga berkata Sultan Selangor telah menasihatkan beliau supaya tidak membuat sebarang kenyataan sehingga baginda pulang pada 27 Ogos.

“Saya telah berkomunikasi dengan DYMM Sultan Selangor berhubung perkembangan terbaharu politik di negeri ini termasuk sentimen di kalangan Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor.

“DYMM Tuanku Sultan telah menitahkan yang baginda berpuashati bahawa saya mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan pada ketika saya menyembah taklimat pada Isnin, 11 Ogos 2014,” kata Khalid dalam satu kenyataan malam ini.

Seterusnya, kata beliau, baginda telah menitahkan beliau supaya tidak membuat sebarang keputusan atau pengumuman berkenaan jawatan menteri besar sehingga baginda kembali pada 27 Ogos ini untuk beliau menghadap baginda.

Sehubungan itu, Khalid menasihatkan kepada pihak-pihak yang berkenaan yang mendakwa beliau telah mengelirukan baginda Sultan supaya menulis terus kepada baginda untuk mendapatkan penjelasan.