Khalid Samad didakwa dibawah akta hasutan kerana mempertikaikan kuasa eksekutif MAIS

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor pada satu sidang akhbar lobi Parlimen, 17 Jun lalu.

Khalid pada 26 Jun menggesa Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Islam (Enakmen No 3, 1952) dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003 dikaji semula.

Beliau bertindak demikian selepas Mais gagal mematuhi keputusan peguam negara Bible Bahasa Malaysia dan Iban yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dikembalikan kepada Persatuan Bible Malaysia.

Pada 15 Julai, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata Khalid biadap kerana mempersoalkan kedudukannya sebagai ketua agama Islam di negeri ini.

“Ahli Parlimen Shah Alam tidak sepatutnya mempersoalkan kuasa eksekutif Mais dan mencadangkan agar kerajaan Pakatan Rakyat memansuhkan kuasa eksekutifnya.

“Beta sedih dan kecewa dengan kenyataan tidak bertanggungjawab ini,” titah Sultan.

Berikutan itu Khalid berkata, beliau meminta maaf kepada Sultan jika kenyataannya itu difahami baginda sebagai mencabar kuasanya.