Khalid sedih PKR dah tak mahukan dia lagi

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui gembira dapat meletakkan jawatan sebagai Ketua Eksekutif negeri dan berharap masalah di Selangor selesai dengan pentadbiran Menteri Besar yang baru.

“Saya gembira melepaskan tanggungjawab ini,” katanya tersenyum selepas mengumumkan peletakan jawatannya di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di Shah Alam, hari ini.

Bagaimanapun, peletakan jawatannya itu ditangguhkan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah sehingga proses pelantikan Menteri Besar yang baru selesai.

Khalid berkata, beliau berharap calon Menteri Besar akan menumpukan usaha menguruskan pentadbiran negeri.

Ditanya sebab meletakkan jawatan, katanya, “Mereka tak nak saya dah.”

Beliau turut mengesahkan tiada keperluan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar dibuat kerana isu pembubaran DUN tidak dibangkitkan dalam pertemuannya dengan Sultan Selangor petang tadi.

“Tidak perlu buat masa ini, sebab Tuanku sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah mengenai Menteri Besar,” katanya.

Katanya, difahamkan istana selepas ini akan menulis surat kepada pemimpin PAS, PKR, dan DAP supaya memberikan cadangan nama mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

“Tuanku meminta tiap-tiap pemimpin kumpulan (parti) tersebut mesti menghantar sekurang-kurangnya dua nama; 2 nama daripada PAS, 2 nama daripada PKR, dan dua nama daripada DAP.

“Sekurang-kurangnya boleh hantar dua nama dan tidak lebih daripada empat,” katanya.

Mengulas tentang DAP yang tidak ada wakil rakyat daripada Melayu, katanya tidak ada masalah kerana parti itu boleh mengemukakan nama calon Adun daripada parti lain.

“Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, DAP namakan saya sebagai Menteri Besar dan ditandatangani oleh pemimpin DAP untuk menamakan saya,” katanya yang mahu mendedahkan senarai nama calon Menteri Besar penggal lalu jika mendapat kebenaran istana.

Ditanya sama ada isu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon penggantinya dibangkitkan dalam perbincangan dengan Sultan, Khalid menafikannya.

Katanya, terpulang kepada istana menentukan kriteria calon yang layak mengikut enakmen walaupun Dr Wan Azizah adalah wanita dan bukan anak jati Selangor.

“Itu terpulang kepada istana, ada konvensyen dan ada juga kelayakan, saya tidak akan mencampuri dan mengambil peranan dalam perkara pelantikan Menteri Besar,” katanya.

Ditanya tentang status terkini sebagai wakil rakyat, Khalid berkata akan meneruskan tugasnya seperti biasa sebagai Adun Pelabuhan Klang dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.