Lim Kit Siang bantah caj VEP di tambak Johor

Semua orang tahu kenaikan kadar tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, tidak akan membebankan rakyat Malaysia.

Sudah dijelaskan pengguna Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) sepanjang lapan kilometer tidak perlu membayar tol dan lebuh raya ini akan kekal percuma bagi penduduk Johor Bahru.

Malangnya Pakatan Rakyat (PR) Johor cuba menjadi juara dengan mendesak kerajaan menangguhkan segera pelaksanaan kadar tol baharu di CIQ kerana ia membebankan rakyat.

Seperti biasa, PAS terpaksa menjadi ayam DAP untuk berkokok dengan membentang lembaran perjanjian konsesi Plus Malaysia Berhad (Plus) seolah-olah kerajaan negeri Johor melakukan satu dosa besar.

Tanpa memperdulikan desakan PAS yang tidak berasas itu, kerajaan negeri Johor mengambil langkah positif dengan menjalankan kajian bagi menentukan impak pelaksanaan kadar tol baharu di CIQ dan caj permit kenderaan asing (VEP) terhadap jumlah kedatangan pelancong dari Singapura ke Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, pihaknya akan mengumpul maklumat serta cadangan berhubung isu kenaikan kadar tol dan pelaksanaan VEP itu untuk tindakan selanjutnya.

“Kita tidak mengetahui kesannya terhadap jumlah kedatangan pelancong khususnya dari Singapura ke negeri ini,” katanya.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kadar baharu tol membabitkan kenderaan Kelas 1 hingga Kelas 5 dari kedua-dua arah keluar dan masuk CIQ Bangunan Sultan Iskandar, di sini.

Kadar baharu tol arah masuk Malaysia bagi kenderaan daripada kelas 1 hingga 5 masing-masing adalah RM9.70; RM14.70; RM19.70, RM4.80 dan RM7.80. Manakala kadar tol arah keluar pula adalah RM6.80; RM10.20; RM13.60; RM3.40 dan RM5.50.

Sebelum ini, pada 16 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk melaksanakan caj VEP terhadap kenderaan asing yang memasuki negara ini dari Singapura dalam masa terdekat, namun kadar caj masih belum ditentukan.

Siew Kiong yang juga Timbalan Pengerusi MCA Johor berkata, MCA negeri sendiri akan menyampaikan maklum balas dan cadangan yang diperoleh pihaknya kepada MCA Pusat berhubung kedua-dua isu tersebut supaya ia dapat dibawa ke peringkat Kabinet.

“Salah satu cadangan adalah untuk menggabungkan pembayaran tol dan caj VEP itu kepada satu sekali gus supaya dapat meringankan beban pengguna khususnya rakyat negeri ini. Kita sentiasa menerima pandangan daripada pelbagai pihak berhubung kenaikan kadar tol dan pelaksanaan VEP.

“Keadaan ini berlainan dengan pembangkang yang hanya tahu mengadakan bantahan tanpa memberikan sebarang cadangan bagi mengatasi isu ini,” katanya.

Terdahulu daripada itu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mencadangkan agar perkhidmatan teksi dan bas dikecuali daripada membayar tol di CIQ Bangunan Sultan Iskandar.

Katanya, langkah itu perlu bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura selain mengurangkan kesesakan akibat kemasukan kenderaan persendirian dari kedua-dua arah Tambak Johor.

“Saya melihat pelaksanaan tol dan kadarnya bukan merupakan satu masalah, tetapi pengguna perlu diberi perkhidmatan dan penyelesaian alternatif yang perlu diteliti. Perlu diperkasa dari segi perkhidmatan pengangkutan awam,” katanya.

Mengenai kekecohan tersebut, Shahrir berkata ia bersifat sementara yang membabitkan sebilangan kecil pihak yang tidak mempunyai asas untuk membantah kenaikan kadar tol.

Beliau berkata keadaan akan pulih dan dapat diterima apabila pemahaman mengenai pelaksanaan tol itu dilakukan selain kerajaan sendiri mencari jalan penyelesaian alternatif.

“Perkara ini telah lama diusulkan cuma ia dilaksanakan selepas pengumuman kerajaan untuk mengenakan caj permit kenderaan asing (VEP) baru-baru ini yang sedikit menimbulkan kurang faham,” katanya sambil menambah semua agensi terlibat perlu berbincang bagi mencari penyelesaian bersepadu yang lebih munasabah.

Apapun kekecohan yang berlaku itu, situasi trafik di kedua-dua hala antara Singapura-Johor Baru pada hari ini sibuk seperti biasa tetapi terkawal.

Malangnya sebuah akhbar Singapura mendakwa Tambak Johor lengang ekoran kenaikan kadar tol di CIQ sedangkan gambar yang diambil pada awal pagi hari tidak bekerja.

Akhbar itu juga mendakwa beberapa peniaga dan pengusaha stesen minyak di Johor Baru terjejas teruk kerana rakyat Singapura enggan berbelanja di negara ini sedangkan pada tengahari dan petang, kenderaan didapati sesak di semua stesen minyak.