Nizar bekas MB Perak akan didakwa fitnah PM Najib

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini, atas pertuduhan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, 2 tahun lalu.

Perkara itu disahkan sendiri peguam Pemuda Pas, Mohd Fitri Asmuni yang memberitahu notis berhubung perkara itu diserahkan kepada Mohammad Nizar oleh pihak polis pada hari Jumaat lalu di Pejabat Pas Perak.

Beliau yang diwakili 12 peguam didakwa melakukan kesalahan itu dalam ucapan kepada orang ramai antara jam 9 malam hingga 12 tengah malam di Taman Desa Pakatan pada 23 April 2012.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, Hakim Madihah Harullah menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula pada 26 September ini.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, seseorang Adun boleh hilang kelayakannya jika disabitkan kesalahan di mahkamah dengan penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000.