Nurul Izzah mohon maaf fitnah Nong Chik

Masih ingat dengan fitnah yang dilontarkan oleh Nurul Izzah terhadap Raja Nong Chik semasa berkempen sehari sebelum PRU13 yang lalu?

Nurul Izzah memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai dengan undian sebanyak 31,008 undi menewaskan Nong Chik yang meraih 29,161 undi – majoriti tipis 1,847 undi sahaja. Ternyata fitnah itu tidak boleh tidak, telah menjejaskan peratus undi terhadap Nong Chik.

Jika Nurul Izzah ikhlas mengakui fitnah itu telah “menjejaskan nama baik dan reputasi Nong Chik sebagai seorang ahli politik”, kami menuntut agar beliau meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai kerana menang dengan cara kotor memfitnah lawan pada saat-saat terakhir.

Buktikan integriti anda. Ini bukan kali pertama fitnah dihambur sesuka hati oleh politikus Pakatan Rakyat. Apa sahaja cara demi kemenangan.


Kes saman Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin selesai hari ini apabila Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mengemukakan kenyataan maaf secara terbuka kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu.

Dalam kenyataannya hari ini, Nurul Izzah mengakui terdapat kesilapan di dalam kenyataan media yang dibuat pada 4 Mei tahun lepas iaitu sehari sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mengenai pembelian tanah di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

“Saya kini mendapati terdapat kesilapan di dalam kenyataan tersebut yang telah menjejaskan nama baik dan reputasi Nong Chik sebagai seorang ahli politik, akauntan bertauliah, ahli perniagaan dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ketika itu serta keluarga beliau.

“Saya kesal dengan kenyataan tersebut. Saya berjanji untuk tidak akan mengulangi kenyataan-kenyataan saya di atas dan apa-apa kenyataan yang berkaitan dengan penerbitan kenyataan saya di atas,” katanya.

Kenyataan maaf itu dibuat di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Nik Hasmat Nik Mohamed di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, disaksikan Nong Chik.

Pada 5 Februari lalu, kes saman antara Nong Chik, Nurul Izzah dan Malaysiakini gagal diselesaikan secara baik melalui proses mediasi di hadapan Hakim Zainal L Salleh di Pusat Mediasi, Mahkamah Kuala Lumpur selepas semua pihak tidak bersetuju dengan terma penyelesaian.

Pada 17 Julai tahun lepas, Nong Chik memfailkan saman itu terhadap Nurul Izzah, Mkini Dotcom Sdn Bhd, pemilik portal berita Malaysiakini dan wartawan Malaysiakini Lu Wei Hoong.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nong Chik mendakwa Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan fitnah dan palsu berhubung pembelian tanah itu dalam sidang akhbar di Bangunan Bakti, Taman Tun Dr Ismail.

Nong Chik mendakwa kenyataan Nurul Izzah itu diterbitkan dalam laman web Malaysiakini pada hari sama, iaitu 4 Mei tahun lepas.

Beliau memohon perintah injunksi supaya semua defendan sama ada melalui diri mereka atau ejen-ejen mereka dihalang daripada mengeluarkan atau menerbitkan perkataan sama yang menfitnah dirinya.

Beliau juga memohon ganti rugi am, teruk, teladan, satu perintah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf, faedah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Menurutnya akibat penerbitan kenyataan itu, reputasi dan maruahnya sebagai ahli politik, bekas menteri dan senator yang dihormati di negara ini terjejas teruk.