Pakatan Rakyat hanya berani dengan Khalid tapi takut dengan Guan Eng

MP PAS, Nasruddin Hassan berkata beliau hairan kerana Tan Sri Khalid Ibrahim “dibantai teruk” berhubung projek lebuh raya Kidex, tidak seperti reaksi ke atas projek terowong bawah laut di Pulau Pinang.

Sedangkan, projek terowong berjumlah RM4.63 bilion di negeri dipimpin DAP itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan dianugerahkan kepada pemaju, Construction Zenith BUCG Sdn Bhd secara rundingan terus.

“Di manakah suara pimpinan Pakatan dalam menegur sikap Lim ini? Bukankah kita menentang rundingan terus satu ketika dahulu

“Saya pelik kenapa Khalid dibantai teruk kerana projek yang bukan bawah bidang kuasanya.

“Namun dalam masa yang sama, tidak berlaku kepada Kerajaan Pulau Pinang bawah pimpinan Lim,” katanya.

Projek terowong 6.5km itu berbeza dengan Kidex, yang merupakan projek kerajaan Persekutuan, katanya.

Malah Selangor juga tidak berhak untuk menolak permohonan pengambilan tanah demi kepentingan awam, kata MP Temerloh itu.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak terikat dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak terikat dengan mana-mana pihak. Namun kenapa (dibuat melalui) rundingan terus?,” katanya.

Beliau turut menggariskan bahawa projek terowong itu menerima bantahan memandangkan jambatan kedua Pulau Pinang itu sudahpun memadai untuk menampung beban lalu lintas.

Projek itu juga dijangka akan menyebabkan kesesakan lebih teruk dengan kemasukan lebih banyak kenderaan ke pulau tersebut, katanya.

Sedangkan, kesesakan teruk di Pulau Pinang akan dapat diatasi jika satu sistem keretapi transit dibina dengan kos hanya RM 120 juta sekilometer.

“Namun tindakan Lim ini tidak langsung di kecam oleh pimpinan Pakatan sepertimana Khalid dikecam dan didesak meletakkan jawatan,” katanya lagi.

Kenapa agaknya Pakatan Rakyat takut dengan Lim Guan Eng tetapi tidak dengan Khalid? Mengapa hanya berlaku krisis di Selangor, bukan Pulau Pinang atau Kelantan?