Pas hanya parti angguk sahaja

Keputusan akhir PAS amat mudah diteka. Tindakan tersebut bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama yang diketuai oleh Nik Abdul Aziz yang memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Majoriti berpendirian, walau sehebat mana pun drama yang dimainkan oleh PAS, akhirnya PAS akan terpaksa tunduk kepada kehendak Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng.

Biarpun PAS mendakwa mereka hanya mengikut ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Syura dan Dewan Ulama, hakikatnya, Jawatankuasa PAS Pusat adalah badan yang paling berkuasa membuat keputusan dengan mengenepikan ketetapan Majlis Syura dan Dewan Ulama.

Dengan kata lain, Majlis Syura dan Dewan Ulama hanyalah kosmetik untuk PAS mendabik dada kononnya mereka adalah parti Islam.

Apa yang mampu dilakukan oleh para pemimpin PAS yang cuba menahan malu ialah, mempersalahkan UMNO dan Barisan Nasional selain cuba meyakinkan para zombie dan penyokong Pakatan Rakyat, bahawa tindakan mereka itu telah memalukan dan membuatkan UMNO-BN menggigit jari.

Sedangkan hakikatnya, drama perebutan jawatan di Selangor langsung tidak membabitkan UMNO-BN, sebaliknya dilakonkan oleh PKR, DAP dan PAS sendiri.

Tapi demi menutup malu, mereka tidak malu-malu untuk menyalahkan pihak lain. Di Facebook sekarang, mereka sudah pun memulakan taktik tersebut.

Apa pendapat anda tentang isi kandungan surat di bawah? :

21 Syawal 1435H
Ahad 4.00p.m

PENGAJARAN DARI KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA KHAS PAS PUSAT BERHUBUNG ISU KRISIS KEPIMPINAN MENTERI BESAR SELANGOR PADA 21 Syawal 1435H/17 Ogos 2014.

  1. Prinsip perjuangan & doktrin ajaran agama PAS sudah lama berjaya diliberalkan sepenuhnya oleh PKR & DAP dan Keputusan pada hari ini juga sudah dijangka oleh umat Islam dan menguatkan lagi proses liberalisasi tersebut.

  2. Pejuang Islam digambarkan tidak layak memimpin ummah berdasarkan sistem demokrasi di mana PAS yang memiliki Adun teramai memilih calon-calon PKR (Wan Azizah Ismail & Azmin Ali) sebagai Menteri Besar. Atas dasar persefahaman pakatan, mereka tidak mencalonkan Pesuruhjaya PAS Selangor atau Adun PAS yang lain kepada Baginda Sultan.

  3. Halatuju dan matlamat perjuangan PAS banyak ditentukan oleh krisis yang dicipta PKR & DAP dan bukannya kepada misi dan visi sebagai gerakan Islam.

  4. Perbezaan pandangan antara Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat (MSU) dan Jawatankuasa PAS Pusat membuktikan bahawa MSU bukanlah penentu kepada kepemimpinan parti. Dalam ertikata lain, mitos kepemimpinan ulama’ hanyalah hipokrasi dan retorik politik.

  5. Isu kafir mengkafir, zalim, fasiQ, munafiQ dan label-label yang pernah diberikan kepada umat Islam yang tidak sependapat dengan PAS sedang melanda parti tersebut samada disedari atau tidak.

Ringkasnya, politik kepartian PAS tidak pernah dan tidak akan mampu menyatukan umat Islam selain prinsip-prinsip manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah akan senantiasa dicampuradukkan dengan prinsip-prinsip Wahabi, Syiah, Khawarij dan amalan politik sekular Barat.


TERBARU:

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang sedang berlangsung pada ketika ini.

PAS dikatakan hanya menghantar Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bagi mewakilkan Presiden dan ahli-ahli parti yang dilantik menyertai Majlis Pimpinan PR.

Ahli Majlis Pimpinan PR terdiri daripada ketua ketiga-tiga parti yang turut dianggotai oleh wakil dari setiap parti gabungan.

Menurut sumber Hadi enggan menghadiri mesyuarat tersebut kerana tidak bersetuju dengan keputusan untuk mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor bagi mengantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Walaupun PAS secara dasarnya bersetuju untuk memberikan dua nama sebagai calon MB Selangor, namun keputusan tersebut jelas tidak begitu disenanggi oleh kumpulan ulama yang sebelum ini menolak pencalonan Azizah.

“Contoh mudah, apabila Presiden enggan memberikan sebarang kenyataan akhbar sejurus selepas mesyuarat PAS pusat yang diadakan tadi, dan menyerahkan tugas tersebut kepada Mat Sabu selaku Timbalan Presiden” ujar sumber tersebut.

Menurut sumber yang enggan mendedahkan identitinya itu, mesyuarat PAS pusat yang berlangsung sebentar tadi itu juga kecoh apabila beberapa kumpulan pro-Anwar yang dikatakan bertegas mahu nama Wan Azizah dikekalkan sebagai calon.