Pas siasat 2 adun membelakangi parti

Nampak gaya, Presiden Pas semakin dipandang remeh oleh ahli parti sendiri, malah mereka lebih melutut kepada Anwar Ibrahim. Buktinya?

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor sedia meninggalkan parti dan menjadi wakil rakyat bebas jika pucuk pimpinannya menolak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu.

Adun Hulu Klang, Saari Sungib mengakui beliau sedar pendiriannya menyokong Dr Wan Azizah merupakan tindakan yang membelakangi keputusan PAS Pusat yang mahu ahlinya patuh dengan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Saya berpegang kepada apa yang telah saya tandatangani untuk menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah walaupun ia ditolak pimpinan PAS Pusat.

“Kalau itu kesudahan (keluar parti) parti terhadap pendirian saya, saya bersedia,” katanya.

Saari dan seorang lagi Adun PAS, Hasnul Baharuddin dari kawasan Morib hadir dan menandatangani surat akuan bersumpah yang menyatakan sokongan mereka terhadap Dr Wan Azizah.

Tindakan mereka itu dilihat bercanggah dengan arahan pucuk pimpinan PAS sebelum ini yang menyokong Abdul Khalid sehingga pendirian rasmi parti itu dibuat pada 17 Ogos ini.

Mengulas lanjut Saari bagaimanapun mempertahankan tindakannya dengan menyifatkan ia selari dengan pendirian partinya untuk terus bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Saya bertindak atas kapasiti peribadi saya, atas kefahaman dan keyakinan saya bahawa PAS tidak akan lari daripada polisi dasar untuk bersama PR.

“Saya menganggap tindakan ini adalah satu langkah awal untuk membolehkan Selangor berada terus di bawah PR,” katanya.

Sementara itu, Hasrul ketika ditemui turut senada dengan Saari apabila menyuarakan pandangan supaya PR mengambil langkah efisyen bagi mengembalikan Selangor.

Katanya, PR tidak boleh menunggu lebih lama sehingga 17 Ogos ini bagi mendapatkan pendirian PAS berhubung situasi politik di Selangor.


PAS akan menyiasat tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu iaitu Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Klang) yang menandatangani akuan bersumpah menyokong Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar tanpa pengetahuan pucuk pimpinan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, mereka tidak menyangka tindakan luar dugaan dua ADUN terbabit yang disifatkan membelakangkan parti.

Pemuda PAS juga mendesak Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali memanggil segera kedua-dua ADUN yang dilapor memberikan sokongan kepada Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor hari ini.

Ketua dewan itu Suhaizan Kaiat berkata, tindakan itu perlu diambil untuk mendapat penjelasan yang sebenar.