Rakyat Malaysia menang anugerah nobel

Mohd Nasrudin Mohd Yusof merupakan rakyat Malaysia pertama yang menerima Anugerah Nobel Keamanan (Nobel Peace Prize).

Beliau mengakui tidak pernah bermimpi diberikan peluang mengibarkan Jalur Gemilang dengan penghargaan diraihnya itu, lapor portal hari ini.

Pesara Anggota Tentera Malaysia berusia 52 tahun itu merupakan penerima anugerah Nobel Keamanan 2013 di atas pencapaian kerja-kerjanya di organisasi antara kerajaan memastikan negara anggota mematuhi Konvesyen Senjata Kimia, iaitu melarang penggunaan senjata kimia dan melakukan kebinasaan.

Beliau berkata keputusannya berpindah ke The Hague, Belanda, dan menyertai Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) tiga tahun lalu, adalah untuk menjadikan Malaysia bangga dengan perkhidmatannya di sana.

“Apabila anda bekerja di luar negara, tidak kira betapa kecil tugas anda, anda sebenarnya membawa bendera negara,” katanya yang dipetik melalui portal itu hari ini.

Menurut Mohd Nasrudin, biarpun pada mulanya berdepan dengan perasaan berbelah bahagi untuk berpindah ke Belanda, namun nekad dengan keputusannya kerana memikirkan ia merupakan peluang yang jarang sekali dapat diperolehi.

“Peluang seperti ini hanya datang sekali dalam seumur hidup, jadi saya memutuskan untuk tidak melepaskannya,” kata Leftenan-Kolonel yang sudah bersara itu.

Tambahan pula, katanya, bukan mudah bagi beliau membiasakan diri dengan budaya berbeza dari Belanda, namun kesukaran itu dapat ditempuhi hasil bantuan daripada rakyat Malaysia yang tinggal di The Hague.

Ini termasuklah rakan sekerjanya juga dari Malaysia yang memegang taraf penduduk tetap di Britain.

“Dia sudah tidak memegang kerakyatan Malaysia, tetapi saya rasa apa yang dikatakan ada kebenaran. Rakyat Malaysia tetap rakyat Malaysia,” katanya.

Nasaruddin berkata pengalaman di luar negara juga membuatkan dirinya lebih menghargai Malaysia, justeru itu secara peribadinya, beliau menyarankan kepada rakyat Malaysia yang mempertimbangkan meninggalkan Malaysia bagi melanjutkan pengajian dan bertugas untuk meneruskan hasrat tersebut.

“Ia tidak akan merugikan anda sebagai rakyat Malaysia. Peluang yang baik hanya datang sekali seumur hidup, jadi jangan sia-siakan peluang. Pengalaman kerja itu akan menjadi sesuatu yang berharga dalam hidup,” katanya.

Menceritakan suasana sambutan Merdeka yang bakal disambut masyarakat Malaysia di Belanda, beliau berkata tahun ini ia sudah tentu disambut dengan perasaan pilu ekoran tragedi MH17, namun menyaksikan semangat rakyat Malaysia yang menetap di negara itu menjadikannya lebih utuh.

Oleh itu beliau berharap agar semua rakyat Malaysia dapat mengambil iktibar daripada tragedi berkenaan dan bersatu.

Manakala bagi dirinya, beliau berkata akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara boleh dibanggakan.

“Saya tidak boleh kembali lagi kerana tidak ada kerja di Malaysia untuk bidang pengkhususan saya.

“Saya boleh memberi sumbangan yang lebih jika saya tinggal di The Hague walaupun saya benar-benar rindukan suasana Malaysia,” katanya berjenaka.

Pada masa yang sama beliau berharap kemenangan pasukannya akan merangsang anak muda Malaysia untuk mencapai impian negara untuk memenangi Hadiah Nobel dalam kemajuan budaya atau saintifik.

“Saya tidak memenangi hadiah Nobel untuk pencapaian individu. Saya menerimanya bersama organisasi, untuk kerja-kerja keseluruhan pasukan,” kata pakar munisi dan senjata kimia ini.

Hadiah Nobel Keamanan kepada OPCW termasuklah pingat, diploma dan hadiah wang tunai kira-kira 900,000 euro (RM3.77 juta).