Shamsul Iskandar bagi amaran demo besar akan terjadi jika Anwar dipenjara

Sedikit nasihat buat Pemuda PKR. Bila turun demonstrasi di jalanraya nanti, tolong bawa bersama penyapu, cangkul, penyodok tanah, kereta sorong, dan plastik sampah yang besar. Jalanraya kita penuh dengan sampah sarap. Bantu bersihkan ia. Jadikan diri anda berguna. Bandar bersih, masyarakat sejahtera. Kebersihan amalan kita rakyat Malaysia.

Shamsul Iskandar Mat Akin berkata Kongress PKR tahun ini merupakan Kongress terakhir bagi Anwar sebelum dipenjarakan yang berkaitan dengan tuduhan meliwat pembantu peribadinya. Mahkamah Persekutuan akan bersidang untuk menghakimi rayuannya terhadap hukuman 5 tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan Mac lepas.

Shamsul berkata yang rakyat akan bangun menentang penghakiman itu dan beliau meminta hakim benar-benar adil dalam membuat penghakiman itu. Bagi beliau jika Anwar masih didapati bersalah, maka itu merupakan penghakiman yang tidak adil. Jika Anwar dilepaskan itu penghakiman yang adil. Jika boleh saya cadangkan jika ada caranya, biarlah Anwar sendiri menghakimkan rayuan beliau sendiri. Ia sudah pasti adil dipandangan Shamsul.

Shamsul membayangkan jika penghakiman itu mengesahkan Anwar ke penjara, rakyat akan marah dan gerakan reformasi akan berulang. Itu sahajalah perjuangan PKR, untuk menyelesaikan masalah Anwar Ibrahim semata-mata. Selain dari Mahkamah Persekutuan tidak kita ketahui siapa dan apakah badan yang boleh dianggap oleh Shamsul adil untuk membicarakan Anwar ini.

Kalau semua keputusan mahkamah tidak betul, elok kita bertanya keputusan siapa yang betul? Walaupun Shamsul menafikan beliau menekan badan kehakiman, tetapi kenyataan beliau jelas itu adalah satu penekanan. Tidak siapa yang boleh memberikan alternatif kepada Mahkamah untuk mendapatkan penyelesaian undang-undang.

Semua tindakan kita itu ada hadnya kerana dengan membangkitkan gerakan reformasi itu melibatkan ramai manusia dan ia bukan lagi gerakan yang direstui oleh ramai. Rakyat mahukan keamanan dan sudah tidak mahu lagi terlibat dengan demonstrasi yang tidak akan memberikan apa-apa kebaikan, baik kepada individu, rakyat mahu pun negara.

Rakyat mahu memberikan fokus untuk perubahan dan transformasi dan tidak mahu lagi memikul beban dan menjinjing masalah peribadi. Rakyat mahukan perundingan secara politik dalam keadaan yang baik kerana melalui perarakan dan demonstrasi hanya memberikan padah kepada negara.

Rakyat tidak mahu lagi dibohongi dengan tuduhan 40,000 pengundi dari Bangladesh mengundi untuk satu pihak kerana setelah diketahui yang perkara itu adalah pembohongan, amat susah bagi rakyat pemilih untuk mempercayai pimpinan seperti ini lagi.

Jangan lupa, Anwar Ibrahim sudah diberi peluang membela diri di dalam mahkamah secara adil tetapi tidak berbuat begitu. Ketika diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi, Anwar memilih untuk memberi keterangan tidak bersumpah daripada kandang tertuduh, yang menyaksikan dia tidak boleh disoal balas.

Anwar tidak berani memberi keterangan dari kandang saksi sebaliknya memilih untuk ‘bersembunyi’ di dalam kandang tertuduh dan menyerang kerajaan, hakim serta timbalan pendakwa raya.

Keterangan Anwar dari kandang tertuduh hanya penafian semata-mata selepas memberi notis alibi.

Itu pembohongan yang diketahui rakyat. Entah berapa banyak lagi rakyat telah dipesongkan dengan pembohongan yang masih belum dapat diketahui ramai.