Sultan tolak calon MB ‘kawalan jauh’

Sultan Selangor dilaporkan menolak calon Menteri Besar yang boleh dipengaruhi oleh individu tertentu melalui “kawalan jauh”.

Walau tanpa menyebut nama mana-mana calon, kenyataan sumber yang dekat dengan istana itu dipercayai merujuk kepada presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut laporan itu lagi, Sultan Selangor juga berhasrat agar calon Menteri Besar yang baru itu bukan sahaja mendapat sokongan majoriti DUN, tetapi turut berkemampuan untuk mentadbir negeri.

“Sultan Selangor mahu seseorang yang boleh menjaga keperluan rakyat dan membangunkan negeri ke peringkat paling tinggi,” kata sumber itu.

Sumber tersebut turut menyalahkan Pakatan Rakyat kerana membangkitkan masalah sehingga menimbulkan krisis politik di Selangor dan menjejaskan pentadbiran negeri.

“Ini adalah masalah dalaman parti,” katanya.

Sultan Selangor juga pada pertengahan bulan lalu juga menolak untuk bertemu Wan Azizah, selepas baginda bertemu dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sehingga hari ini, Wan Azizah masih belum berjaya menghadap baginda untuk mempersembahkan 30 pengakuan berkanun bagi membuktikan sokongan majoriti anggota DUN.

Dewan tersebut dianggotai oleh 56 ADUN.