Tidak puas hati dengan Anwar, Cari parti lain. Tidak puas hati dengan PAKATAN, tinggalkan PAS

Hebat sungguh Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam di mata Anwar Ibrahim sehingga beliau menjadi wakil PAS sewaktu Perasmian Kongres PKR 2014. Jika DAP menghantar Lim Kit Siang, Penasihat Seumur Hidup parti itu, bukankah pelik apabila PAS cuma menghantar AJK biasa sahaja dari hirarki?

Memang tidak menghairankan jika teriakan Khalid Samad agak ‘senada seirama’ dengan isi ucapan penggulungan Rafizi Ramli; Naib Presiden baru PKR.

Rafizi Ramli mengingatkan, mana-mana ahli yang menyalahkan Anwar Ibrahim dalam isu Menteri Besar Selangor supaya keluar daripada parti sekiranya tidak berpuas hati.

Manakala Khalid, yang merupakan seorang anggota Jawatankuasa Pusat PAS pula berkata jika ahli-ahli parti berasa parti itu lebih baik tanpa PR, sila tinggalkan PAS dan pergi ke tempat lain.

Peranan PAS dalam Pakatan diperdebatkan beberapa kali oleh ahli dan pemimpinnya dan yang terbaru semasa isu Menteri Besar Selangor.

Beberapa ahli secara terbuka meminta para pemimpin PAS mengkaji semula kerjasama dengan PKR dan DAP, mendakwa parti Islam terlalu banyak berkompromi.

Khalid Samad enggan menamakan individu yang dimaksudkannya namun menggambarkan bahawa beberapa pihak dalam PAS berpendapat bahawa gabungan tersebut tidak bermakna jika tidak memberi keuntungan kepada Islam.

Katanya, individu itu juga membangkitkan bahawa sekutu parti tersebut hanya meminta bantuan PAS semasa pilihan raya atau demonstrasi besar.

Beliau menjelaskan, PAS sebenarnya mendapat keuntungan dari hubungan tersebut atas kedudukan politik yang diperolehi – dari tahap ketua kampung sehingga anggota exco.

Ini menyebabkan PAS lebih mudah didekati orang awam berbanding sebelum ini.

Tambahnya lagi, “keuntungan pada Islam” tidak semestinya bermaksud Islam atau sesuatu kumpulan etnik menjadi lebih dominan.

Sebaliknya, keuntungan itu lebih kepada usaha membawa keadilan dan kelebihan Islam kepada semua.