Warga Selangor tidak setuju Khalid ditukar

Sentimen terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kekeliruan terhadap rancangan PKR untuk menggantikan menteri besar itu menunjukkan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat (PR) Selangor semakin menurun selepas memenangi negeri itu untuk penggal kedua pada Pilihan Raya Umum 2013.

Keputusan Khalid memecat exco daripada PKR dan DAP pada Selasa mengakibatkan berakhirnya kerajaan PR di Selangor serta-merta.

Beliau mengekalkan empat exco PAS kerana menyangka mendapat sokongan mereka, tetapi semalam, dua Adun PAS juga menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dicadangkan parti untuk menggantikan Khalid.

Sampai bilakah kerajaan begini mampu bertahan? Ia masih menjadi tanda tanya selepas PAS hanya akan menyatakan pendiriannya pada Ahad ini.

Menyaksikan drama ini, ramai yang bingung mengapa PR bersungguh-sungguh mahu menyingkirkan Khalid yang menonjolkan ciri kepimpinan jujur, berdisiplin dan mengepalai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

Pada masa sama, wujud kesangsian terhadap Dr Wan Azizah.

PR mempunyai tugas besar di hadapan dalam meyakinkan rakyat Selangor tentang cadangannya menukar ketua eksekutif negeri popular itu.

NIAT MURNI, PELAKSANAAN LEMAH

Sejak lima tahun lalu, penduduk Taman Kem, taman perumahan berusia 30 tahun, penuh sabar bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membangunkan semula kejiranan mereka.

Pada 1970-an, flat empat tingkat itu dibina untuk penduduk setinggan yang tinggal di pondok usang di tanah kerajaan bertentangan jalan menuju ke pelabuhan.

Namun selepas 30 tahun, siling dan lantainya mula pecah yang membolehkan air hujan masuk ke dalam rumah mereka.

Sejak PR mengambil alih, penduduk bersama kerajaan negeri bertungkus-lumus merancang flat itu dirobohkan bagi merealisasikan harapan mereka menggantikannya dengan apartmen 15 tingkat yang baru. Tonggak utama perancangan itu adalah Khalid.

“Beliau dan pegawainya bantu kita membentuk satu jawatankuasa menggerakkan usaha tersebut dan mendapatkan sokongan semua penduduk,” kata Jafri yang hanya mahu dikenali dengan nama itu.

Berita Khalid yang akan disingkirkan menjadikan jawatankuasa itu bimbang rancangan mereka akan tergendala.

“Kami berpuas hati dengan prestasi beliau setakat ini. Jika terdapat masalah atau kelewatan adalah disebabkan kakitangan di bawahnya.”

Faktor perbezaan yang besar antara hasrat murni Khalid dengan kelemahan dari segi pelaksanaan merupakan perkara biasa yang sering diungkap penduduk Klang.

“Masalahnya ialah pada MPK (Majlis Perbandaran Klang),” kata penduduk Pandamaran, Suresh, ketika ditanya prestasi Khalid selaku menteri besar.

Dia kemudian menyenaraikan masalah seperti kesesakan lalu lintas, jenayah, longkang tersumbat dan sampah yang tidak dikutip.

“Dia kena jaga seluruh negeri, bukan hanya tumpukan kepada masalah di satu kawasan sahaja,” kata Wan Azhar Wan Mohamed yang juga merupakan penduduk Pelabuhan Klang.

Reputasi Khalid yang berjimat-cermat dan menyalurkan wang rakyat kepada program tertentu seperti air percuma dan bantuan kepada warga emas menyaksikannya dipilih untuk penggal kedua.

TANGGUNGJAWAB KOLEKTIF

Di Petaling Jaya, kumpulan pro-PR cuba memburuk-burukkan selepas penduduk mengetahui projek kontroversi Kidex.

Lebuhraya bertingkat sepanjang 14.9km itu akan merentasi kawasan kejiranan yang lama dan padat penduduknya di Lembah Klang.

Sekumpulan penduduk bersatu membantah projek itu yang mereka dakwa akan memudaratkan nyawa, mendatangkan pencemaran bunyi dan lebih memburukkan keadaan kesesakan lalu lintas.

Mereka mengecam kerajaan PR Selangor kerana membenarkan projek yang diluluskan Putrajaya itu tetapi tidak tahu siapa yang harus dipersalahkan.

Ahli jawatankuasanya, Mak Khuin Weng berkata tanggungjawab sepenuhnya diletakkan kepada keseluruhan exco negeri yang meluluskan projek itu pada 2012.

Ada juga yang menyalahkan Khalid, mahu beliau diganti dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR lain.

“Ada yang mendakwa ia salah Khalid tetapi tiada keputusan kerajaan yang dibuat seorang individu sahaja. Minit mesyuarat (2012) membuktikan ini.

“Jika exco tidak menyokong projek ini, mengapa mereka tidak memberikan kenyataan? Kenapa terus membisu?” kata Mak.

Katanya, penukaran Khalid tidak akan menyelesaikan perkara itu kerana masalahnya ialah pada PR Selangor.

“Sehingga ke hari ini, saya tidak mendengar PR akan membatalkan projek ini walaupun dengan MB baru. Khalid pergi, masalah tetap bersama kami.”

ORANG LUAR YANG POPULAR

Salah satu sebab mengapa Khalid popular adalah disebabkan imejnya sebagai “orang luar”, kata penganalisis politik Dr Wong Chin Huat (gambar).

Imejnya berbeza dengan orang politik lama, penduduk tempatan yang pandai memikat hati rakyat.

Dinamika yang sama boleh dilihat pada Presiden Indonesia Joko Wikodo, Presiden United States Barrack Obama dan parti Aam Aadmi di India.

Bagaimanapun, Khalid tidak dipilih secara terus oleh penduduk untuk menjadi menteri besar, kata Wong dari Penang Institute.

Seorang lagi penganalisa, Ibrahim Suffian daripada Merdeka Center berkata sekiranya pilihan raya negeri diadakan, PR akan hilang Selangor jika gagal memberi penerangan tentang krisis ini dan rancangan masa depan mereka.

Walaupun tanpa pilihan raya sekarang, warga Selangor sudah mempunyai pandangan mereka tersendiri tentang cadangan PKR itu.

“Prestasi Khalid baik. Kenapa nak gantikannya?” kata Ismail Madon, 44, yang merupakan penduduk Pelabuhan Klang.

“Malah, mengapa hendak digantikan dengan seseorang yang bukan lahir dan dibesarkan di Selangor?”

Tidak seperti dalam kes Khalid, membawa masuk Dr Wan Azizah sebagai “orang luar” tidak akan membantu PR di Selangor.

– The Malaysian Insider