Azmin akan manfaatkan rizab 3bilion

Dalam ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baharu, Azmin Ali berikrar untuk memanfaatkan rizab tunai RM3 bilion dalam perbendaharaan negeri Selangor untuk “manfaat rakyat Selangor”.

Menurut Azmin, beliau tidak mahu rizab itu kekal di atas kertas semata-mata.

“Setiap sen dana negeri Selangor adalah milik rakyat dan bukan milik pemimpin.

“Cara saya dana itu bukan di atas kertas tetapi diterjemahkan kepada program yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Selangor,” katanya dalam ucapan di hadapan rumah ibunya di Kampung Klang Gate Baru, Hulu Kelang, tengah hari ini.

Dalam ucapan sama, Azmin berikrar untuk menjalankan tugas secara turun padang dengan mendekati sendiri masalah penduduk Selangor.

“Banyak kerja yang tertangguh selama dua bulan ini.

“Cara kerja saya bukan dengan tie (tali leher) dan kot tetapi dengan lengan pendek dan seluar panjang… turun ke daerah untuk mendengar sendiri masalah rakyat dan selesaikan semuanya,” katanya.

“Saya juga akan masuk ke pejabat petang ini untuk berbincang tentang barisan exco yang baru,” katanya.

Beliau turut berhasrat meningkatkan imej penjawat-penjawat awam Selangor untuk lebih dikenali sebagai penjawat awam yang cekap apabila bekerja dalam satu pasukan.

“Saya akan mengangkat martabat penjawat awam di negeri Selangor sebagai pasukan yang boleh menjalankan tanggungjawab secara kolektif,” katanya dalam ucapan di hadapan kira-kira 300 orang hadirin.