Adakah bangsa Malaysia bangsa yang prejudis?

Hari Malaysia sepatutnya menjadi hari yang melambangkan keutuhan identiti Bangsa Malaysia, namun kini segalanya kelihatan kabur.
Penyatuan bangsa Malaysia di negara ini masih samar-samar. Kita rancak berbicara tentang solusi untuk membentuk bangsa yang beridentitikan Malaysia dan bukannya ras, namun kerancakkan itu semacam dimandulkan dengan politik rasis yang cukup kuat.

15 April 1986, Allahyarham Dato’ Sudirman Hj Arshad menjadi artis pertama yang mengadakan konsert terbuka di Jalan Chow Kit dan menarik seramai lebih 100,000 peminat dari pelbagai latar belakang. Konsert tersebut selain menyebabkan kesesakan jalan, beberapa orang peminat pitam, ada yang sesak nafas dan terpaksa digegaskan ke hospital. Namun ia menjadi konsert paling bersejarah di Malaysia kerana pertama kalinya muzik menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira identiti kaum.

Selepas 28 tahun, bukan sahaja muzik malahan filem tempatan itu sendiri semacam sudah tidak mementingkan nilai bangsa Malaysia. Masing-masing mengejar target audiens yang selalunya terdiri daripada satu etnik tertentu. Tanpa filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Yasmin Ahmad adalah malang buat Malaysia kerana tiada satu filem tempatan masa kini yang benar-benar mewakili jiwa dan budaya bangsa Malaysia secara terperinci sebaliknya kebanyakkan filem hanya berunsur komersial semata-mata termasuk filem seperti Estet dan Mamak Cup Cakes.

Ini belum mengambil kira kegagalan politik Malaysia dalam pembentukkan identiti Bangsa Malaysia. Jika Parti Tindakan Demokratik (DAP) meletakkan Dyana Sofya sebagai perisai untuk mempersoalkan kewajaran Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) untuk bumiputera sahaja, parti yang sama memilih untuk membisu dalam soal sekolah satu aliran. Dalam diam mereka memperjuangkan sekolah aliran Cina untuk memastikan dasar pecah dan perintah semenjak daripada era British itu dikekalkan demi survival politik mereka.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) semacam tiada masa untuk berbicara tentang pembentukkan identiti bangsa Malaysia kerana kini tumpuan sepenuhnya terpaksa diberikan sama ada untuk merealisasikan atau tidak kehendak Anwar Ibrahim yang berdegil untuk menjadikan isterinya sebagai Menteri Besar Selangor.

Kebangkitan kerajaan Barisan Nasional dengan gelombang Akta Hasutan yang membuatkan ramai politikus dan aktivis kecut perut dengan badai yang ganas ini dilihat hanya melunturkan semangat rakyat untuk menghayati roh bangsa Malaysia.

Terfikir juga, bagaimana agaknya semangat sambutan Hari Malaysia di estet-estet misalnya. Apakah anak-anak etnik India yang hidup dengan gaji dibawah paras minimum ini mengerti dan menghargai Hari Malaysia? Apakah di estet Felda mahupun penempatan kampung baru ini semangat dan identiti Bangsa Malaysia cukup jitu?

Sabah dan Sarawak pula semacam dirundung kesayuan dalam menyambut Hari Malaysia ini kerana lambakan pendatang asing yang menghakis identiti bangsa Malaysia. Caca marba identiti bangsa Malaysia di Sabah dan Sarawak. Permainan politik telah menghancurkan keindahan dan nilai tradisi serta budaya etnik Sabah dan Sarawak ini. Lalu, ada politikus mengambil kesempatan menabur kebencian, melobi untuk memisahkan semenanjung dan Sabah Sarawak.

Apakah kita kini benar-benar meraikan Hari Malaysia tanpa apa-apa perasaan prejudis dan kebencian sesama kita?

Saya tiada jawapannya, namun apa sekalipun, 16 September tahun ini sekali lagi menyaksikan ramalan Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri terus kekal mitos.

Selamat Hari Malaysia!

Edwin Michael,
Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman, Perak.