Ahli majlis MPPP dipecat kerana kritik DAP

Bendahari PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim dipecat daripada semua jawatan dalam kerajaan tempatan di negeri itu berikutan ucapan kritikal beliau pada Muktamar PAS minggu lepas.

Iszuree, Ketua Whip Majlis Perbandaran Pulau Pinang semalam menerima surat yang ditandatangani oleh setiausaha MPPP Ang Aing Thye yang berkata, exco kerajaan negeri memutuskan Khamis lepas dia diketepikan daripada semua jawatankuasa dan membekukan semua peruntukan untuk beliau daripada majlis itu.

Langkah itu segera dikritik oleh Pemuda PAS Pulau Pinang yang menyifatkan tindakan itu sebagai pendendam walaupun ia satu kritikan membina daripada Iszuree.

Iszuree pula dalam Facebook pagi ini menulis:

“Kebebasan suara mati di Pulau Pinang, apa guna Speakers Conner di Padang Kota. Pemerintahan Muo Tze Tong…penuh hasad dan dendam.”

Iszuree pada 19 September lalu semasa berucap sebagai perwakilan di Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat berucap mengenai mengenai pengusiran penduduk tradisional untuk memberi laluan kepada projek-projek pembangunan baru di negeri ini.

Beliau berkata, pemimpin Pakatan Rakyat kini lebih mesra dengan pemaju daripada dalam mendengar suara rakyat.

Beliau ditegur oleh rakan-rakannya dalam majlis perbandaran daripada DAP dan PKR yang berkata, kerajaan negeri mempunyai dasar untuk meluluskan sesuatu projek pembangunan yang diduduki oleh setinggan, tambahan lagi ada usaha untuk membina lebih banyak rumah mampu milik.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng enggan mengulas perkara itu pagi ini ketika ditemui wartawan selepas merasmikan ekspo hartanah Mapex City 2014 yang mempamerkan projek pembangunan di Pulau Pinang.

Bagaimanapun beliau pada Khasmi berkata polisi kerajaan negeri sekarang mengenai melindungi penduduk berbeza daripada kerajaan Barisan Nasional terdahulu dan “mereka yang bercakap sebaliknya tidak berkata benar”.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi menyifatkan penyingkiran Iszuree sebagai “sangat drastik”.

“Kritikan membina dibalas racun tuba sekali gus merosakkan teladan Khalifah Umar Abdul Aziz yang sering dijolok pada pemerintahan ketua menterinya. Lebih tragis, tindakan ke atas Iszuree diambil tanpa sebarang surat tunjuk sebab apatah lagi dipanggil untuk memberi penjelasan.

“Kelihatan tindakan DAP mutakhir ini seperti meniru gaya dan pendekatan PAP di Singapura iaitu mengambil “tindak balas” segera terhadap pengkritik mereka dengan menggunakan kuasa yang mereka miliki antaranya memberi tekanan dan menyaman pengkritik mereka. Saya kira ia sebagai satu langkah untuk menakut dan menggerunkan pihak yang mahu menegur dan mengkritik,” katanya.

Nasrudin berkata, langkah itu sangat malang untuk Pakatan Rakyat (PR) yang selama ini memperjuangkan demokrasi dan kebebasan bersuara.

“Jika benar telahan saya, maka ia adalah suatu yang sangat malang bagi PR yang selama ini memperjuangkan demokrasi dan hak bersuara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memintah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang juga pesuruhjaya PAS Pulau Pinang untuk menguruskan isu itu.

Iszuree menafikan beliau menyerang kerajaan negeri pada muktamar.

Beliau berkata, kandungan ucapannya berdasarkan kepada memorandum yang dihantar Biro Tanah PAS Pulau Pinang, yang beliau pengerusikan, kepada Lim dua bulan lalu.

Dalam ucapannya, beliau berkata semua negeri yang ditadbir kerajaan PR perlu menghentikan sikap “menutup sebelah mata” terhadap isu bandar, terutama di Pulau Pinang di mana pembangunan dengan kelas menjejaskan penduduk tempatan yang tinggal di kawasan berkenaan sejak lebih 20 tahun.

Beliau berkata, kampung yang didiami umat Islam dan bukan Islam berdepan tindakan pengusiran dan menjadi mangsa di mahkamah.

Beliau mencadangkan polisi baru sebagai kaedah yang boleh diambil kerajaan PR untuk prosedur standard operasi terhadap mana-mana perancangan pembangunan yang menjejaskan kewujudan penduduk tempatan.