Azmin Ali yang lobi Hadi Awang untuk jawatan MB bukan sebaliknya

Ahli PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard yang digantung keahlian parti mendakwa Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali yang melobi kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menyokongnya sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu dan bukan sebaliknya.

Namun, apabila kes itu terbongkar kata Chegubard, Azmin telah menemui Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memusing cerita mendakwa beliau telah dilamar PAS.

“Lobi Azmin yang nak jadi MB tak sudah – sudah akhirnya membawa ke episod pemecatan Khalid Ibrahim dan fasa lantikan baru dari Istana. Namun jelas PKR pada peringkat ini seperti hilang kawalan dan seolah tidak dihormati kawan pun. Kenapa ini berlaku ?

“Jawapanya mudah, PKR yang diperlihatkan tidak ‘solid’ kepimpinannya sudah tentu akan dipermainkan /tidak dihormati bukan sahaja oleh musuh, oleh Istana malah oleh sahabat sendiri. Ini berlaku kerana konon kita solid untuk hantar satu nama tetapi ada yang buat lobi belakang untuk dirinya.

“Tanyalah pemimpin PAS bagaimana Azmin melalui perbagai saluran melobi sehingga Presiden PAS sendiri mahu membawa namanya tetapi apabila lobinya pada PAS terbongkar dia sendiri mengadap DSAI konon menyatakan Presiden PAS yang mahu melamar dia. Ini antara punca meretakkan lagi hubungan PR,” dedah Chegubard di blognya, dua hari lepas.

Dalam kes ini, Chegubard mendakwa, Azmin bermain politik dua muka untuk kepentingan dirinya sendiri.

“Di depan umum khususnya media, Azmin kelihatan begitu suci, dia bercakap ke media akan tolak sebarang cadangan namanya dan menyokong Wan Azizah tetapi di belakang ia terus melobi termasuk melobi ke Istana.

“Masih ingat selepas PRU 13 bagaimana PR bersetuju menghantar nama Khalid Ibrahim seorang tetapi dia dan kuncu – kuncunya dalam PKR Selangor menghantar satu lagi nama konon mendapat sokongan ramai yang perlu dipertimbang Sultan yang akhirnya dia kecewa kerana gagal mendapat sokongan parti peringkat Pusat. Itu sebab selepas itu ia menyerang Anwar dan keluarga,” dakwanya lagi.

Blog Chegubard