Bekas Pengarah Siasatan BPR dedah Anwar arahkan akuan bersumpah bersih nama atas tuduhan miliki 20 akaun induk bernilai RM 3 Bilion

Bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Abdul Razak Idris mendakwa membuat Akuan Bersumpah (SD) atas arahan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu bagi membersihkan nama Anwar daripada dakwaan memiliki 20 akaun induk bernilai RM3 bilion, selain mempunyai hubungan dengan pihak berkepentingan di Barat.

Ia berkaitan kes saman malu Anwar terhadap The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) kerana mendakwa artikel bertajuk ‘Anwar’s link to US lobbyist’ yang disiarkan pada 2 Mac 2002 sebagai memalukan beliau.

Abdul Razak yang terbabit dalam siasatan kes itu pada 1999 dan ditutup pada tahun berikutnya, mendakwa pada 2003, beliau diminta oleh Ketua Pengarah BPR ketika itu, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan hadir bagi pihak BPR selepas disapina oleh Anwar dalam saman berkenaan. (BPR kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Beliau mendakwa Anwar mengetahui bahawa ‘tiada kes’ terhadapnya dan mempunyai kelebihan dalam kes itu kerana dokumen yang dirampas dalam siasatan sudah dipulangkan.

Abdul Razak yang menamatkan perkhidmatan pada 2004, berkata disebabkan disapina sebagai saksi plaintif, beliau bersetuju dengan permintaan Anwar supaya membuat SD selepas Anwar enggan memasukkan kenyataannya dalam afidavit.

“Beliau (Anwar) takut saya akan menjadi saksi belot, jadi saya diminta membuat SD dan serahkan dokumen itu ketika dalam kandang saksi.

“Saya terbabit dalam siasatan ini dan sepanjang menjalankan siasatan, banyak yang dibongkar dan helaian kertas siasatan saja setinggi kira-kira satu meter.

“Namun, bukti yang tidak mencukupi bagi mendakwa seseorang tidak bermakna orang yang disiasat itu tidak bersalah. Ia juga mungkin bermakna tiada gunanya membuat pendakwaan kerana sudah pasti tidak dapat dibuktikan di mahkamah,” katanya.

Mengenai tindakan Anwar menggunakan SD beliau bagi menyokong kesnya sekarang, Abdul Razak berkata sesiapa saja akan menggunakan peluang seumpama itu.

Sehubungan itu, katanya, SPRM wajar membuka semula kes yang beliau tutup dulu dan bersedia menawarkan bantuannya dalam sebarang siasatan baru.

Anwar menggunakan perisai SD Abdul Razak ketika diajukan berkenaan pemilikan 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion sepertimana yang terkandung dalam pengakuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid.

Namun, apabila Abdul Razak sendiri membuat kenyataan media pada 21 Jun 2012 mendakwa beliau disuruh Anwar untuk membuat SD itu, maka ia merupakan satu kesalahan jenayah dari segi undang-undang kerana SD mesti dibuat dengan sukarela.

Pada 12 Jun 2012 akhbar New Straits Times(NST) dalam laporan muka depan bertajuk “Anwar gave order” mendedahkan siasatan BPR pada tahun 1999, menemui bukti rasuah dan salah guna kuasa Anwar ketika berjawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan apabila mendapat pengakuan dari seorang saksi, seorang CEO sebuah bank yang mendakwa Anwar telah mengarahkannya menyalurkan berjuta-juta ringgit ke dalam akaun individu-individu dan syarikat-syarikat tertentu.

Namun BPR tidak menawarkan CEO itu sebagai saksi kerana arahan untuk memindahkan dana itu sebahagian besarnya dibuat secara lisan dan tanpa dokumen.

Pada 18 Jun 2012, bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Abdul Murad Khalid sendiri tampil memberi kenyataan bahawa beliau bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa berhubung dengan pengendalian akaun-akaun induk sejumlah RM3 bilion itu.

Bekas Ketua Pemuda PKR Terengganu, Fakrul Azmin Abu Bakar mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim agar memfailkan saman fitnah terhadap bekas Pengarah Penyiasatan Badan Pencegahan Rasuah Abdul Razak Idris di atas pendedahannya mendakwa disuruh oleh ketua pembangkang itu membuat pengakuan bersumpah (SD).

Fakrul Azmin juga turut curiga dengan keikhlasan Anwar bersedia untuk berkerjasama dengan pihak SPRM, sedangkan tiada tindakan yang diambil oleh Ketua Pembangkang itu untuk membersihkan namanya daripada isu tersebut.

“Jika Anwar jujur dengan kenyataan akan beri kerjasama, maka kita meminta Anwar beri penjelasan bagaimana Azmin Ali boleh memiliki aset saham dan wang bernilai berjuta-juta sedangkan gaji Azmin hanya RM2,400 sebulan (pada ketika itu).