Hadi Awang mahu exco PAS jadi MB Selangor

Krisis menteri besar (MB) Selangor bakal bergolak lagi selepas PAS dilaporkan menghantar nama tiga ahli majlis mesyuarat negeri (Exco) mereka untuk jawatan tertinggi negeri itu.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan menghantar tiga nama kepada istana Selangor untuk dipertimbangkan sebagai MB Selangor.

Sumber memberitahu, Hadi sendiri menandatangani surat yang dihantar ke istana Selangor itu.

Tiga nama yang dihantar Hadi untuk dipertimbangkan Sultan Selangor sebagai pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah Iskandar Abdul Samad, Sallehin Mukhyi and Dr Ahmad Yunus Hairi.

Seorang pegawai kanan Hadi “tidak menafikan surat sedemikian dihantar” tetapi mengatakan biarlah pemimpin parti yang memberikan kenyataan.

“Ini adalah perkara sulit dan saya tidak boleh berbincang mengenainya,” katanya.

Surat itu akan dilihat sebagai satu penghinaan kepada konsensus yang dipersetujui oleh sekutu Pakatan Rakyat yang lain iaitu PKR dan DAP yang telah bersetuju untuk mengemukakan hanya satu nama iaitu nama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke istana untuk dipertimbangkan.

PAS menegaskan bahawa lebih dari dua nama hendaklah dikemukakan mengikut permintaan istana.