Hari Malaysia buang perbezaan cari persamaan

HARI Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun sebagai memperingati pembentukan Malaysia pada 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak.

Sejak itu, pelbagai perubahan, kemajuan serta pembangunan dirasai dalam suasana penuh keharmonian. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini beberapa isu cuba dibangkitkan termasuk dakyah agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

Ikuti sesi temu bual bersama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, Sabah.



Kegiatan penyebar dakyah agar Sabah dan Sarawak keluar Malaysia dilihat semakin aktif terutama di laman Facebook dan blog. Apa pandangan Datuk mengenai kewujudan kumpulan sebegini dan apa motif di sebaliknya?

RAHMAN: Usul mahu Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia adalah tindakan yang tidak boleh diterima. Kesannya begitu besar dari segi keselamatan, ekonomi atau hubungan antarabangsa.

Pada pandangan saya, mereka yang terlibat dalam gerakan ini golongan yang kecewa dalam politik dan menggunakan slogan ‘Sabah Untuk Sabah’, ‘Hak Rakyat Sabah’ dan aspek kenegerian yang melampau dalam semua pilihan raya.

Malah slogan itu menjadi sumber rujukan dalam setiap kempen dan manifesto, yang akhirnya ditolak rakyat. Mereka mahu perhatian lebih diberikan termasuk peruntukan kewangan dan kuasa autonomi.

Namun, masalah timbul apabila tuntutan yang dibuat berbaur hasutan.



Khabarnya gerakan ini didalangi pihak tertentu yang ingin kuasai Putrajaya. Langkah mereka dikatakan akan lebih mudah jika dapat keluarkan Sabah dan Sarawak yang memang kubu kuat BN.

RAHMAN: Saya tidak rasa ia gerakan besar-besaran kerana yang memberi komen dalam Facebook orang yang sama sahaja. Namun, ia perlu diselesaikan segara agar tidak melarat. Polis sedang menjalankan siasatan.

Pemilik akaun Facebook (yang membawa usul itu) perlu dikenal pasti. Kita tidak rela Sabah keluar dari Malaysia. Itu pandangan majoriti rakyat Sabah.



Apa implikasi jika gerakan seperti ini tidak dibendung?

RAHMAN: Amaran sudah diberikan. Pihak berkuasa tidak akan kompromi dan akan ambil tindakan undang-undang terhadap mereka. Peliknya pihak yang menuntut ini berada di luar negara dan menggunakan hak kebebasan di negara tersebut untuk memporakperanda keutuhan dan perpaduan antara negeri dan rakyat Sabah.

Tindakan ini tidak bertanggungjawab. Kalau benar mahu tuntutan tersebut dilaksanakan, buatlah dalam negeri.



Apa pula usaha kerajaan bagi memastikan Sabah dan Sarawak tidak dipinggirkan dan turut menikmati kemajuan seiring dengan negeri lain di Semenanjung?

RAHMAN: Saya tidak nafikan kemajuan dicapai di Sabah dan Sarawak tidak setanding dengan pembangunan yang dikecapi masyarakat di Semenanjung.

Namun, dalam soal pembangunan, kita tidak boleh menilai keputusan yang dibuat pemimpin terdahulu terutama dalam pembentukan Malaysia pada 1963, melalui kaca mata dan rujukan kita pada hari ini kerana mereka lalui senario, cabaran dan keutamaan berbeza.

Pada 1963, Sabah berada dalam keadaan serba kekurangan, kemiskinan dan ancaman dari Indonesia (konfrontasi), Filipina (tuntutan terhadap Sabah) dan Indochina (di mana pengaruh komunis menular masuk ke Semenanjung, Singapura seterusnya ke Sabah dan Sarawak).

Pada waktu itu pemimpin Sabah memikirkan jalan terbaik dalam soal keselamatan rakyat Sabah adalah bergabung dengan entiti lebih besar.

Walaupun ada pilihan bergabung dengan Filipina atau Indonesia, tetapi mereka putuskan lebih baik bergabung dengan wilayah bekas jajahan British (Tanah Melayu) kerana sistem perundangan, pentadbiran dan perkhidmatan awam sama digunakan. Banyak persamaan termasuk dari segi budaya, bahasa dan politik. Lebih mudah berintegrasi.



Bagaimana keadaan di Sabah dan Sarawak selepas pembentukan Malaysia?

RAHMAN: Saya bawa semula ingatan sekitar tahun 50-an dan 60-an. Sabah tidak ada guru sekolah. Yang datang ke sini dan mengajar mereka adalah guru-guru dari Semenanjung yang sanggup berjalan kaki antara tiga hingga 10 kilometer dan tidak kisah tinggal di kawasan pedalaman demi mengajar anak-anak kita.

Sabah ketika itu tiada sumber ketenteraan dan kita guna khidmat tentera dari Semenanjung untuk menjaga keselamatan di Sabah. Kita tidak ada doktor, guru agama juga diimport dari Johor dan Perak.

Tetapi ada juga yang mendakwa orang Semenanjung datang ke Sabah dan Sarawak untuk menjajah negeri itu. Itu tidak betul. Banyak bantuan dan sumbangan diberikan. Walaupun kita sudah maju, jangan sesekali lupa pada sejarah.



Bagaimana tahap integrasi nasional antara penduduk di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung?

RAHMAN: Hubungan rakyat antara penduduk Sabah, Sarawak dan di Semenanjung bertambah erat. Dari aspek pelancongan juga bertambah baik.

Tetapi isu-isu melibatkan tuntutan seperti ini sudah tentu mampu menggugat keharmonian negara. Apabila kita membentuk kerajaan, sudah tentu masing-masing mempunyai pandangan sendiri.

Walaupun kuasa autonomi diberikan, Kerajaan Pusat mesti diberi kuasa mentadbir persekutuan. Semua negeri dan ahli dalam persekutuan pula harus bersetuju memberi kuasa itu kepada kerajaan Pusat.

Kerana itu saya tidak bersetuju apabila ada pihak mengatakan kerajaan Persekutuan berlaku zalim kepada Sabah dan Sarawak. Sebahagian jemaah menteri yang dilantik berasal dari Sabah dan Sarawak, dan kami tidak akan sanggup membiarkan dasar yang dibuat kerajaan Pusat merugikan rakyat Sabah dan Sarawak.

Janganlah anggap Kerajaan Persekutuan itu kerajaan Semenanjung. Itu tidak betul.



Bagaimana kepercayaan rakyat Sabah terhadap kerajaan Pusat, terutama selepas pelbagai masalah melanda termasuk isu keselamatan di kawasan perairan Sabah.

RAHMAN: Ada yang bertanya, adakah Sabah selamat? Secara keseluruhannya, ya, Sabah masih selamat dan tidak tergugat.

Perlu diingat isu keselamatan adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan kehadiran pihak berkuasa di kawasan berkenaan telah berjaya membendung insiden berkenaan. Mereka telah menjalankan tanggungjawab menjaga keamanan di kawasan itu.



Apa nasihat Datuk kepada rakyat Sabah dan Sarawak supaya tidak terpengaruh dengan dakyah ini?

RAHMAN: Dunia tanpa sempadan, terlalu banyak cabarannya. Kunci utama adalah kita perlu kukuhkan pendidikan untuk berdepan dengan musuh.

Musuh sebenar kita bukan yang berada di sekeliling tetapi mereka di luar sana, di peringkat antarabangsa yang menguasai ekonomi dan politik. Jangan kita fikir soal mahu memecah belah negara. Kita harus menoktahkan perbezaan dan mencari persamaan.