Hormat lagu Negaraku kerana ia lagu Malaysia bukan lagu kerajaan

BERSAMAMU, MALAYSIA.

Tabiat politikus yang suka mempolitikkan apa sahaja, disemarakkan oleh para penyokong mereka yang mandul pemikiran kritis.


Kebiadapan tidak menghormati lagu NegaraKu dan politikus yang menjadikan Malaysia sebagai sasaran kebencian dan bukannya parti lawan menjadikan rakyat berada dalam persimpangan yang rumit.

Apakah harus untuk kita mentakrifkan bahawa lagu NegaraKu itu bersifat partisan dan mewakili golongan pemerintah? Jika takrifan sebegini diterima, maka atas dasar itu mereka yang membencikan pemerintah dan menyokong Pakatan Rakyat memiliki lesen untuk tidak menghormati lagu kebangsaan negara kita.

Lagu NegaraKu hakikatnya tidak pernah mewakili kerajaan pemerintah mahupun mana-mana parti politik dalam gabungan Barisan Nasional. Lagu NegaraKu adalah lagu Malaysia. Selama ini isu sama ada harus menghormati lagu NegaraKu ataupun sebaliknya tidak pernah timbul dan ditimbulkan. Namun kini isu ini menjadi satu perdebatan umum.

Ini diakibatkan oleh landskap politik negara kita sendiri. Tabiat politikus yang suka mempolitikkan apa sahaja dinegara ini daripada isu bendera negara kepada lagu NegaraKu dan tindakan ini pula disemarakkan oleh para penyokong mereka yang mandul pemikiran kritis hanya mewujudkan krisis budaya bangsa.

Tindakan Ahli Parlimen Kuching daripada parti DAP Chong Chieng Jen yang samakan perbuatan menyanyi lagu NegaraKu di pawagam dengan era kepimpinan komunis Mao dalam akaun Facebook miliknya dan kemudian tanpa apa-apa penyesalan memohon maaf semudah itu adalah sifat binatang politik yang amat berbahaya. Dan apabila DAP berdiam diri dalam isu ini maka itu menunjukkan bahawa menghina lagu NegaraKu bukannya satu kesalahan yang harus dihukum.

Harus diingat, politikus semestinya mewakili sekumpulan penyokong yang tegar dan kebencian inilah yang hakikatnya menyuburkan jiwa para penyokong tegarnya untuk menafikan rasa hormat pada lagu NegaraKu dan sekaligus menimbulkan satu pemahaman bodoh bahawa lagu NegaraKu mempunyai hubungkait dengan pemerintah.

Bagi golongan pemikiran kiri pula mereka memiliki versi kemerdekaan yang tersendiri. Maka kewajaran bersifat patriotisme sebegini adalah sesuatu yang dilihat sebagai satu propaganda pemerintah untuk teruskan rakyat berkhayal dengan semangat patriotisme dan lupakan isu-isu rakyat.

Soalnya, apa sebenarnya bentuk merdeka yang mereka canangkan dan model negara bangsa yang bagaimana pula mereka mahu wujudkan dinegara ini?

Mana-mana parti politik hatta pemerintah mahupun pembangkang tidak seharusnya mempolitikkan lagu NegaraKu. Walaupun terdapat perbezaan fahaman politik dan ideologi namun menghormati lagu NegaraKu dan apa sahaja simbol yang mewakili nama Malaysia adalah satu perbuataan seorang manusia yang memiliki akal pemikiran waras dan tahu membezakan antara identiti Malaysia dan politik.

Bagi mereka yang berkiblatkan politik, kebencian dan hasutan itu adalah halal selagi mereka mampu mengekalkan survival politik mereka dan terus berpura-pura menjadi pejuang rakyat.

Malaysia harus dihormati. Jika sukar berbuat sedemikian, adalah molek untuk anda berhijrah dan menghormati lagu negara yang menerima anda sebagai warganegara kelas ketiga disana.

Edwin Michael,
Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman, Perak.

Facebook beliau: LINK