Husam digesa letak jawatan atau berhenti jadi anai-anai

Pergolakan dalam PAS berkaitan krisis jawatan menteri besar Selangor berterusan apabila seorang ketua Pemuda PAS hari ini membidas Naib Presiden, Datuk Husam Musa yang didakwanya tidak sehaluan dengan pendirian Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Pemuda PAS Sekijang, Shazni Munir Ithnin (kanan) mendakwa bahawa umum mengetahui bahawa Husam dan rakan-rakannya dalam Jawatankuasa Pusat PAS tidak bersetuju dengan keputusan Hadi untuk meletakkan lebih daripada satu nama sebagai calon menteri besar Selangor.

Oleh itu, beliau menggesa Husam agar tidak berkias-kias dalam membangkang keputusan presiden PAS itu.

“Husam perlu menyatakan protes terhadap keputusan tersebut secara terbuka,” kata Shazni yang juga eksekutif komunikas menteri besar Selangor dalam satu kenyataan hari ini.

“Ahli-ahli sudah sedia maklum pendirian presiden, dan tidak kurang yang menyokong,” katanya sambil mendakwa hanya Husam dan rakan-rakannya masih berlapik-lapik kononnya ingin menjaga survival politik.

Menurut Shazni, budaya demikian tidak sihat kerana ia ibarat “anai-anai yang makan senyap-senyap”.

Katanya, jika Husam merasakan presiden sudah tidak layak memimpin parti, maka beliau seharusnya mengusulkan undi tidak percaya terhadap presiden parti.

Tetapi jika Husam merasakan sokongannya tidak cukup, tegas Shazni LAGI, maka Husam dan rakan-rakannya perlu meletakkan jawatan sebagai isyarat menegakkan pendirian mereka yang dirasakan betul.

Menurutnya, jika Husam masih tetap tidak bersetuju, beliau hanya ada dua pilihan – melakukan usul undi tidak percaya atau meletak jawatan.

“Jika kedua-dua ini pun Husam dan rakan-rakan tidak lakukan, sebaliknya terus bersikap seperti anai-anai yang ‘makan senyap-senyap’, lebih baik beliau bersetuju sahaja dengan presiden parti,” tegasnya lagi.