Istana nafi hanya satu nama dihantar untuk MB sejak 1957

KENYATAAN AKHBAR ISTANA SELANGOR BERTARIKH 18/09/14


Saya dititah oleh D.Y.M.M Sultan Selangor bagi memberikan penjelasan untuk menafikan kenyataan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam akhbar-akhbar tempatan yang menyatakan amalan menghantar satu nama calon Menteri Besar kepada Sultan merupakan amalan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini adalah tidak tepat dan mengelirukan rakyat. Apa yang sebenarnya berlaku semasa pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional, pemilihan calon Menteri Besar Selangor dipersembahkan kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor oleh Perdana Menteri melalui Majlis Menghadap Sultan. Di dalam majlis menghadap inilah Perdana Menteri akan menyembahkan beberapa nama calon yang difikirkan layak untuk mendapat perkenan D.Y.M.M. Sultan. Dari senarai nama-nama calon tersebut, D.Y.M.M. Sultan Selangor akan memilih hanya satu orang calon untuk dilantik sebagai Menteri Besar.

Manakala pada tahun 2008, keputusan Pilihanraya Selangor tidak menyebelahi Kerajaan Barisan Selangor. Parti-parti pembangkang iaitu PKR, PAS dan DAP telah bergabung dan menubuhkan Parti Pakatan Rakyat (Coalition Government) bagi mendapatkan majoriti untuk mentadbir Kerajaan Selangor. Pada ketika itu, D.Y.M.M. Sultan Selangor telah menitahkan ketua-ketua parti dalam Pakatan Rakyat di negeri Selangor untuk membincangkan calon-calon nama untuk menjadi Menteri Besar Selangor. Semasa majlis perbincangan, terdapat beberapa calon yang disyorkan.

Justeru itu, D.Y.M.M. Sultan Selangor melalui Setiausaha Sulit Baginda telah mengutus surat kepada ketua-ketua parti dalam Pakatan Rakyat (Coalition Government) untuk mencadangkan dua (2) nama calon sebagai Menteri Besar Selangor. Lanjutan daripada itu, ketua-ketua parti dalam Pakatan Rakyat telah sebulat suara bersetuju mencalonkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

Oleh kerana Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim telah memenuhi kriteria-kriteria untuk menjadi Menteri Besar dan menepati syarat-syarat yang diperuntukkan di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, maka D.Y.M.M. Sultan Selangor telah bersetuju melantik Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

Pada tahun 2013 pula, Pakatan Rakyat telah memenangi majoriti Kerusi Dewan Undangan Negeri di Negeri Selangor. Oleh yang demikian, Menteri Besar Selangor hendaklah dipilih di kalangan ADUN dari Pakatan Rakyat. Datin Seri Wan Azizah Presiden Parti Keadilan Rakyat ada membuat kenyataan dalam berkempen Pilihanraya Umum ke-13 bahawa Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim tidak semestinya kekal sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya Pakatan Rakyat menang.

Sehubungan dengan itu, D.Y.M.M. Sultan Selangor melalui Setiausaha Sulit Baginda telah mengutus surat kepada Ketua-ketua Parti dalam Pakatan Rakyat untuk mencadangkan empat (4) nama sebagai calon Menteri Besar. Walau bagaimana pun Ketua-ketua Parti dalam Pakatan Rakyat mengesyorkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

Di samping itu, Baginda juga ada menerima penamaan calon lain bagi jawatan Menteri Besar Selangor. Oleh kerana Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim telah menyandang jawatan Menteri Besar Selangor sebelum ini dan mempunyai hubungan yang baik dengan pihak Istana dan juga rakyat Negeri Selangor, Baginda berkenan supaya beliau dilantik semula menjadi Dato’ Menteri Besar Selangor.

Adalah menjadi polisi pihak Istana tidak mendedahkan nama-nama dan juga maklumat mengenai calon-calon yang telah dikemukakan, serta proses pemilihan Menteri Besar Selangor. Tetapi oleh kerana keadaan memaksa untuk pihak Istana mengeluarkan kenyataan, maka perkara ini perlu diperjelaskan. Oleh yang demikian, sekiranya Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai fakta yang tepat, beliau dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan imej D.Y.M.M. Sultan Selangor.

Sekian dimaklumkan, terima kasih.

Dato’ Haji Mohamad Munir bin Bani, D.P.M.S., J.S.D.
Dato’ Lela Bakti Setiausaha Sulit
Kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor.