Langkah Hadi lawan langkah Kajang

Kandungan dua surat daripada PAS yang menggariskan senarai calon berbeza untuk calon menteri besar Selangor menimbulkan kemarahan dari sebilangan anggota parti Islam itu.

Tindakan mengemukakan surat tersebut, yang digelar sebagai “Langkah Hadi”, dilihat “mengingkari” keputusan jawatankuasa pusatnya.

Parti tersebut sebelum ini berkali-kali menafikan bahawa ia berhasrat untuk mengemukakan pemimpin PAS ke jawatan tersebut, bagi menghormati hak PKR ke atas jawatan berkenaan.

Namun, satu surat daripada pejabat Hadi itu langsung tidak menamakan sebarang ADUN PKR dalam senarai berkenaan yang seterusnya dihantar ke Istana.

Senarai itu mencalonkan tiga Exco PAS iaitu Iskandar Ab Samad, Sallehin Mukhyi dan Dr Ahmad Yunus Hairi dihantar secara rahsia pada awal pagi Rabu tanpa pengetahuan jawatankuasa pusat dan PAS Selangor sendiri.

“Saya tidak tahu langsung tentang perkembangan ini. Saya hanya dapat tahu melalui berita di dalam Internet,” kata Iskandar.

Malah, timbalan Hadi, Mohamad Sabu juga menegaskan beliau dan pimpinan Pusat PAS tidak tahu menahu langsung berkenaan perkara ini.

“Kami, AJK PAS Pusat tidak tahu menahu akan nama baru ini kerana ia tidak diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebagai badan eksekutif yang mengendalikan urusan harian pentadbiran dan strategi parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan surat itu dihantar ke istana oleh seorang Exco Pemuda PAS yang “rapat” dengan Hadi, dengan ditemani seorang kerabat diraja Selangor yang mengetuai satu syarikat GLC negeri itu.

TIADA NAMA CALON PKR

Beberapa sumber memberitahu, seorang pimpinan kanan PAS yang terlibat langsung dalam perkara ini naik berang dan meminta pejabat presidennya menarik kembali senarai itu dan menghantar senarai baru.

Perkembangan itu menunjukkan PAS seolah-olah berjaya menyelesaikan satu satu krisis.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali kemudiannya dilaporkan mengakui bahawa pelan asal parti itu adalah untuk menghantar nama tiga ADUN PAS sahaja.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa PAS “membetulkan” perkara tersebut melalui senarai kedua yang dihantar kepada istana Selangor.

Senarai baru yang mengandungi nama dua ADUN PKR dan satu ADUN PAS itu dihantar beberapa jam selepas itu.

Mustafa bagaimanapun enggan mendedahkan nama ADUN dalam senarai baru tersebut.

Beberapa lagi sumber yang berkenaan memberitahu Malaysiakini bahawa senarai nama baru itu tidak mengandungi nama presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Azmin Ali.

Ia bertentangan dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS pada 17 Ogos lalu.

Pejabat Hadi menyenaraikan nama pilihan mereka sendiri iaitu ADUN Ijok Idris Ahmad dan bekas Exco Selangor Yaakob Sapari sebagai calon dan nama pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar.

PKR dan DAP bagaimanapun hanya menghantar satu nama – Wan Azizah walau Sultan Selangor menitahkan agar parti dalam Pakatan Rakyat mengemukakan lebih daripada dua nama.

Biarpun Hadi mungkin tidak memainkan peranan aktif dalam hal ini, perkara ini dilihat dilakukan dari pejabat beliau, atau individu dari pejabat beliau, akan mengaitkan dirnya sendiri sebagai presiden parti.

Pengingkaran terhadap badan pembuat keputusan eksekutif PAS sendiri akan menjejaskan hubungan Hadi dengan barisan pimpinan tinggi lain menjelang muktamar tahunan parti itu.

Muktamar tersebut dijadualkan berlangsung di Johor bermula 18 hingga 20 September ini.

Ini turut menambah pergeseran antara pemimpin pro-Pakatan Rakyat dalam PAS dan pimpinan konservatif yang dibarisi golongan ulama – kebanyakannya dari Kelantan dan Terengganu.