Lim Guan Eng tuduh 4 adun PAS engkhianat

Selepas empat Exco parti itu kekal dalam pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi memastikan kerajaan Selangor terus kekal ketika kemelut Menteri Besar, PAS akhirnya dituduh pengkhianat oleh DAP.

DAP menyifatkan tindakan empat Adun PAS itu kekal sebagai Exco satu pengkhianatan terhadap prinsip solidariti dan demokrasi serta gagal untuk setia bersama enam lagi Exco DAP dan PKRyang dipecat oleh Khalid sebelum ini.

Kekesalan itu diluahkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan malam tadi selepas jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) mengadakan mesyuarat tergempar mengenai pelantikan Mohamad Azmin Ali sebagai menteri besar.

“DAP berasa kesal dengan pengkhianatan empat orang ahli exco Selangor PAS terhadap prinsip solidariti dan demokrasi serta kegagalan untuk setia bersama enam lagi exco DAP dan PKR yang dipecat secara tidak adil oleh bekas MB yang kehilangan sokongan majoriti DUN Selangor,” katanya.

Empat Adun PAS itu ialah Iskandar Abdul Samad, Sallehen Mukhyi, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Dr Halimah Ali.

Menurut Guan Eng, keputusan menyokong Azmin dibuat selepas anggota CEC mengadakan mesyuarat tergempar malam tadi sebaik sahaja menerima berita daripada pihak Istana Selangor.

“Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) dalam mesyuarat tergemparnya pada 22 September 2014 memutuskan untuk menyokong kenyataan dibuat Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menarik diri daripada jawatan menteri besar Selangor berikutan titah Sultan Selangor melantik Mohamed Azmin Ali sebagai MB Selangor baharu,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.