Lim Kit Siang dedah Anwar punca kerugian Bank Negara pada tahun 1993

Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah terlibat dalam melindungi kerugian berbilion-bilion ringgit oleh Bank Negara kira-kira 22 tahun lalu.

Kerugian Bank Negara itu pernah dibangkitkan di Parlimen pada tahun 1993, ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan menggantikan Tun Daim Zainuddin yang meletak jawatan pada 15 Mac 1991.

Lim Kit Siang, Ketua pembangkang di Dewan Rakyat pada itu mendesak Anwar selaku Menteri Kewangan bertanggungjawab sepenunya di atas kerugian tersebut.



Satu rencana yang ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang Harakah bertajuk “Kerugian Bank Negara : Siapa pula kaki judi ?” memetik kata-kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang di Parlimen, Selasa, 27 April 1993 yang menyebut;

“Selaku Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim mesti menerima tanggungjawab persendirian sepenuhnya kerana kerugian pertukaran asing Bank Negara ini. Rakyat berhak mengetahui sebab dan saiz berbagai kerugian pertukaran asing yang dialami oleh Bank Negara, berkenaan jumlah kerugian yang disebabkan oleh pembendungan inflasi dalam menyerap liquiditi, penilaian semula pegangan mata wang asing dan kenaikan nilai ringgit dan kerugian hasil daripada perniagaan dan spekulasi mata wang asing.”

Bayangan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, yang menganggarkan kerugian Bank Negara boleh mencapai RM16,000 juta. Ketika berceramah di Kuching, pada 29 Mei 1993 beliau berkata:

“Jika seseorang itu memenangi loteri yang menawarkan hadiah RM2 juta sehari, untuk mendapat wang sebanyak RM16 bilion, dia perlu menang loteri tersebut setiap hari selama 8,000 hari berturut-turut ataupun selama 22 tahun! ”

Walaupun Anwar menafikan dakwaan bahawa Bank Negara telah terlibat dalam aktiviti spekulasi dalam pasaran pertukaran asing, kenyataan itu ditolak oleh Kit Siang. Pada 1989, dilaporkan Bank Negara telahpun dikritik oleh pegawai kewangan Barat kerana spekulasi dalam mata wang yen dan dollar Amerika pada masa Kumpulan Tujuh negara industri cuba menstabilkan pasaran mata wang.

“Yang Berhormat Menteri Kewangan telah menyatakan sokongan beliau kepada prinsip akauntabiliti, pertanggungjawaban dan transparensi pegawai-pegawai sektor awam. Dan ini adalah satu kes ujian sama ada beliau benar-benar berkepercayaan dalam prinsip-prinsp ini, dengan meminta kabinet menubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kerugian pertukaran asing Bank Negara,” tegas Kit Siang.

Dalam jawapan balasnya, Anwar mempersoalkan jumlah kerugian yang diberikan oleh Kit Siang, Anwar mendakwa Kit Siang mengira dua kali. Mengenai pertanyaan Kit Siang bahawa kenapa bila rugi dikatakan rugi atas kertas, tetapi bila untung, memang sebenarnya untung, Anwar berkata :

“Bila untung, untung itu dipulihkan sebagai cash dipindahkan ke dalam negara, dibayar kepada kerajaan. Sebab itu untung ini in cash terms. Rugi yang disebut oleh Gabenor Bank Negara sebagai paper loss itu, rugi masih atas kemerosotan nilai yang masih dirizab.”

Anwar seterusnya memberi contoh : “Umpamanya kalau Ahli Yang Berhormat dari Tanjong ada US$1 juta, mungkin lebih, disimpan di New York, rugi itu in ringgit terms, sebab nilai ringgit bertambah. Jadi, US$1 juta masih kekal US$1 juta, tetapi apabila dari segi ringgit sudah merosot lapan peratus atau sembilan peratus, tengok kepada tempohnya. Ini basic economic, saya hendak beri kuliah sedikit. “

Dalam jawapannya itu, Anwar sempat juga menyerang Harakah : “Saya tahu, Harakah pun banyak isu, saya sekarang popular kerana front page headline, every week, every issue.

Bagaimanapun jawapan panjang lebar Anwar itu memerangkap dirinya. Esoknya, tepat jam 3.38 petang Lim Kit Siang – setelah merakamkan penghargaan kepada jawapan Anwar – berkata :

“Saya juga mesti mencatatkan kehampaan saya yang amat sangat dengan kenyataan beliau (Anwar) yang bukan merupakan jawapan kepada ucapan saya. Kita boleh sebut ia sebagai non-reply….. Yang Berhormat Menteri Kewangan bersungguh-sungguh mengelakkan diri dari memberi jawapan sehingga habis tempoh 30 minit yang diperuntukkan untuk beliau. Kenyataan itu…..hanya memperkukuhkan kesangsian bahawa kerajaan mempunyai banyak perkara yang terpaksa disembunyikan atau dengan izin swept under the carpet…..Hakikat yang sebenarnya ialah beliau (Anwar) telah membangkitkan lebih banyak soalan daripada menjawab.”

Selanjutnya Kit Siang membidas gaya Anwar yang tidak bersedia membaca teks ucapan yang disediakan supaya dapat gambaran beliau membuat pembentangan dengan spontan bagi mempamerkan kehebatannya dalam perkara tersebut.

“Tetapi malang sekali, terdapat kesilapan-kesilapan dalam perhubungan dengan pihak dan akibatnya ialah, pemberitaan yang panjang lebar kepada ucapan Yang Berhormat Menteri di Parlimen kelmarin sebagaimana yang tersiar dalam sebuah akhbar tempatan – yang ada disebut berkait rapat dengan beliau – amat berbeza dengan ucapan spontan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan yang disampaikan di Dewan Rakyat,” ujar Kit Siang.

“Saya tidak ada bantahan jika Yang Berhormat Menteri ingin memberi ucapan spontan yang telah disediakan terlebih dahulu tetapi dengan syarat beliau dapat membuat pengubahsuaian berdasarkan apa yang telah saya katakan sebelum beliau berucap. Malang sekali Yang Berhormat Menteri tidak dapat berbuat demikian dan inilah sebabnya beliau terpaksa membuat kenyataan dan andaian dan tuduhan yang tidak akan beliau lakukan sekiranya beliau mengikuti dan memahami ucapan saya terlebih dahulu.

“Misalnya, dalam ucapan Yang Berhormat Menteri, beliau mengejek saya kerana meminta butir-butir terperinci rizab Bank Negara dalam berbagai mata wang asing dengan mengatakan bahawa ia bukanlah “skim kutu kampung” untuk diketahui umum. Sebenarnya saya tidak pernah meminta butir-butir terperinci komposisi rizab asing Bank Negara. Apa yang saya minta ialah butir-butir terperinci kerugian pertukaran asing. Saya berharap Yang Berhormat Menteri faham bahawa terdapat perbezaan di antara dua jenis butiran ini,” tambah Kit Siang.

Mengenai tuduhan Anwar bahawa beliau menghitung dua kali mengenai jumlah kerugian lain-lain rizab Bank Negara sebanyak RM10.1 bilion, Kit Siang berkata :

“Saya tidak dapat memahami logik Yang Berhormat Menteri Kewangan dan saya akan berasa amat terkejut jika Gabenor Bank Negara masih menegaskan bahawa lain-lain rizab pada tahun lalu ialah RM9.3 bilion dan bukan RM10.1 bilion.”

Seterusnya Kit Siang merumuskan : “Malah seorang murid sekolah pun dapat memerhati bahawa lain-lain rizab Bank Negara telah kerugian RM10.1 bilion.”

Kit Siang juga menolak hujah Anwar bahawa oleh kerana kedudukan ekonomi negara kukuh, maka kita tidak harus khuatir akan kerugian pertukaran asing Bank Negara. Mengulas suatu jawapan yang diberikan oleh Anwar, Kit Siang berkata :

“Imaginasi yang karut ini tidak boleh diterima langsung disebabkan ia adalah serupa dengan membandingkan seekor ayam dengan seekor itik. Yang Berhormat Menteri tidak memahami bahawa rizab asing adalah disebabkan oleh imbangan bayaran yang positif akibat pertumbuhan ekonomi negara sedangkan kenaikan atau kejatuhan lain-lain rizab adalah bergantung kepada prestasi Bank Negara. Kedua-dua ini tidak ada kaitan langsung.”

Ketua Pembangkang itu kemudiannya menasihatkan Anwar supaya mendapat pendidikan dalam bidang ekonomi antarabangsa daripada Setiausaha Parlimen ataupun Timbalan Menteri :

“Tetapi Setiausaha Parlimen (Kementerian Kewangan) yang merupakan seorang ahli ekonomi yang terlatih dan rujuklah kepada rencananya dalam Berita Harian, 24 April 1993. Dalam rencana ini, beliau telah menghiraukan dengan tepatnya bahawa tambahan dalam rizab bergantung kepada sama ada kita mempunyai pertimbangan bayaran yang positif yang bergantung kepada pertumbuhan ekonomi.”

Anwar yang tidak pernah terlatih dalam bidang ekonomi tentunya mendapat pengajaran yang bermakna dalam isu, apatah lagi bila Kit Siang menegaskan :

“Adakah amat mengejutkan bahawa Yang Berhormat Menteri Kewangan nampaknya tidak memahami ekonomi antarabangsa yang asas ini sehingga saya bimbang bahawa Yang Berhormat Menteri sedang teraba-raba dalam kegelapan dan Malaysia memang mujur kerana tiada bencana kewangan besar yang berlaku sehingga kini. Yang Berhormat Menteri sepatutnya berhenti daripada mengelirukan orang ramai dengan mengatakan kerugian dalam rizab-rizab lain sebanyak RM10.1 bilion oleh Bank Negara tidak penting disebabkan ia boleh dioffset oleh lebihan sebanyak RM16.5 bilion dalam rizab asing.”

“Ingin saya mencadangkan, demi kepentingan negara, agar beliau menukar penasihat-penasihat ekonomi dan perakaunannya. Saya juga berharap Yang Berhormat Menteri akan memberi penjelasan awam yang penuh dengan merujuk kepada semua perkara teknikal yang dibangkitkan secara bertanggungjawab dan janganlah ghairah berpolemik politik,” tegas Kit Siang menutup ucapannya mengenai kerugian Bank Negara.

Ahmad Shabery Chik bekas pensyarah ekonomi Universiti Malaya yang ketika itu Setiausaha Politik Tengku Razaleigh Hamzah turut menyalahkan ketidakcekapan Anwar sebagai Menteri Kewangan sebagai punca kerugian Bank Negara tersebut.

“Anwar mesti mengakui punca terbesar kerugian adalah akibat permainan spekulasi mata wang asing yang gagal. Jelas, kerugian ini bukanlah atas kertas sahaja tetapi kerugian nyata yang ditanggung oleh rakyat jelata.

“Umat Islam terperanjat bagaimana Menteri Kewangan yang banyak bercakap tentang Islam boleh merestui permainan spekulasi seperti ini. Sedangkan secara jelas ia memperjudikan wang rakyat sebegitu banyak.”

Dipetik dari buku PAS zaman Anwar : Memo untuk bakal PM, Ahmad Lutfi Othman, Penerbitan Pemuda, 1993.