Majlis Peguam diselar jadi alat pembangkang

“Masalahnya, Majlis Peguam cuba menjadi seperti ahli politik. Mereka bawa orang ke jalan raya dan sebagainya. Sekarang, orang turun demonstrasi jadi berani untuk lawan polis kerana ada peguam di belakang. Tengok, peguam sekarang sedang menghasut orang supaya melanggar undang-undang. Jika kena tahan jangan risau, kami ada di belakang. Ini satu mesej salah yang diberikan oleh Majlis Peguam kepada rakyat,” kata pengamal undang-undang MOHD KHAIRUL AZAM ABDUL AZIZ.

Sering kali kita mendengar kisah Majlis Peguam yang lagaknya melebihi orang politik. Lebih malang lagi tindakan mereka itu lebih cenderung kepada menyebelahi pihak pembangkang, sesuatu yang membuktikan bagaimana mereka ini tidak profesional dan berat sebelah.

Lihat sahaja pandangan mereka yang mengeluarkan kenyataan keterlaluan yang mendakwa sesiapa yang meragui peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubung persetujuan kedua-dua ibu bapa bagi menentukan agama kanak-kanak bawah umur sebagai tidak faham atau lembab.

Malah Majlis Peguam pernah mengeluarkan kenyataan yang cuba mengelirukan rakyat dengan menyatakan hukuman penjara ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak wajar kerana dilakukan atas dasar suka sama suka.



1) Bagaimana saudara melihat fungsi dan integriti Majlis Peguam sekarang yang semakin berkecamuk akibat campur tangan politik pembangkang?

KHAIRUL AZAM: Memang betul Majlis Peguam sudah lama menjadi alat kepada pembangkang. Mulanya ia diperalatkan tetapi lama-kelamaan apabila melihat pengaruh yang ada pada Majlis Peguam, ia terus menjadi sebahagian kepada pembangkang, seperti biro undang-undang pembangkang. Ini bukan lagi tuduhan atau tanggapan tetapi sudah menjadi satu fakta bahawa Majlis Peguam merupakan sebahagian daripada pembangkang.

Kalau kita tengok Majlis Peguam ditubuhkan di bawah Akta Profesion Undang-Undang (LPA) 1976. Majlis Peguam cuma satu jawatankuasa kecil, yang besar ialah Malaysian Bar (Badan Peguam Malaysia). Kesemua 15,000 peguam di Malaysia merupakan ahli Badan Peguam Malaysia, tetapi Majlis Peguam hanya sebahagian kecil sahaja iaitu jawatankuasa dengan 36 ahli majlis yang menguruskan hal ehwal 15,000 orang peguam.

Peranan Majlis Peguam sepatutnya profesional. Kalau kita tengok dalam Seksyen 42 Akta Profesion Undang-undang 1976, tidak ada langsung unsur-unsur politik tetapi sejak Datuk S. Ambiga menjadi presiden 10 tahun lalu, sedikit demi sedikit Majlis Peguam diresapi fahaman songsang.

Jadi mereka sudah mula mengguna dan memperjuangkan hak asasi manusia sejagat. Atas dasar hak asasi manusia sejagat ini, mereka kaitkan dengan undang-undang dan mereka hendak perkenalkan satu budaya baharu di Malaysia.



2) Pihak Majlis Peguam cuba mengelirukan rakyat dengan menyatakan hukuman penjara ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak wajar kerana dilakukan atas dasar suka sama suka. Apa pandangan saudara?

KHAIRUL AZAM: Presiden Majlis Peguam pernah keluarkan kenyataan bahawa Anwar tidak sepatutnya didapati bersalah kerana pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dibuat atas dasar sukarela. Kita tengok Anwar dituduh di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Apa kata Seksyen 377B: “Sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela, akan dihukum penjara maksimum 20 tahun, termasuk sebatan.”

Maksudnya sekarang disebabkan perkataan sukarela, Majlis Peguam kata hubungan ini suka sama suka dan sepatutnya dia (Anwar) tidak didapati bersalah. Ya betul, kalau Anwar berada di London, Jerman atau mana-mana negara yang membenarkan perkahwinan sejenis tetapi bukan di Malaysia. Negara kita masih ada lagi kanun keseksaan bagi kesalahan itu. Memang kalau seksyen itu dibaca, ia macam bermaksud kesalahan Anwar ini atas suka sama suka.

Sekarang ini dengan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Majlis Peguam mempromosikan kebebasan termasuk kebebasan seksualiti. Majlis Peguam kata Anwar tidak salah kerana kesalahan itu dilakukan atas dasar suka sama suka. Benda ini mungkin boleh diterima di negara Barat tetapi bukan di negara kita.

Kalau kita boleh kaitkan, dahulu Anwar pernah cakap, mana-mana undang-undang lapuk di negara ini perlu disemak dan dikaji semula. Anwar kata undang-undang ini lapuk. Dia hendak promosikan budaya liberalisme di Malaysia. Budaya ini masih belum diterima di negara kita, bukan sahaja dalam kalangan orang Islam tetapi bukan Islam.



3) Bagi Majlis Peguam, apabila undang-undang tidak berpihak kepada mereka dan kumpulan politik yang disokongnya, kerajaan akan dituduh sebagai zalim tetapi jika sebaliknya, tidak pula pihak kerajaan dan badan kehakiman mendapat kredit sewajarnya?

KHAIRUL AZAM: Setiap peguam akan merasai kemenangan dan kekalahan dalam kariernya sebagai peguam. Jadi, yang sebaik-baiknya dan idealnya, sama ada dia menang atau kalah, dia tidak perlu berterima kasih. Kalau dia kalah pula, dia tidak perlu mengungkit atau memarahi mahkamah. Sebagai seorang peguam, dia perlu profesional. Lain pula dengan pihak-pihak yang terlibat, tidak kisah di mana sekali pun, dia mungkin terkilan dengan sistem.

Namun, peguam telah dilatih dengan etika-etika tertentu sebab dia mewakili orang dan dibayar kerana perkhidmatannya. Dia tidak boleh mencemuh, menghina, mencela atau mencalar nama mahkamah kalau dia kalah dan tidak dapat apa yang diminta.

Sebab itu, ketika dalam mahkamah sama ada menang atau kalah, peguam akan bangun dan mengatakan “saya terima yang arif.” Tetapi maklum sahajalah, kadang-kadang reaksi orang Malaysia lain. Orang terus kecil hati dan memarahi serta mengungkit hal ini.

Kita rasa rata-ratanya mempunyai hak bersuara jika hendak menyampaikan sesuatu rasa ketidakpuasan hati kita tetapi tidak boleh melampaui batas yang telah ditetapkan oleh undang-undang daripada aspek undang-undang menghina mahkamah.

Undang-undang penghinaan mahkamah ini bukan untuk melindungi hakim. Ia jelas. Semua hakim di negara Komanwel bersepakat bahawa undang-undang ini bukan untuk melindungi hakim tetapi melindungi integriti sistem pentadbiran negara.



4) Apakah pindaan Akta Profesion Undang-undang 1976 yang pernah saudara nyatakan sebelum ini mampu menjadikan Majlis Peguam lebih bebas dan berintegriti?

KHAIRUL AZAM: Badan Peguam Malaysia ditubuhkan di bawah Seksyen 41 Akta Profesion Undang-undang 1976 dan Majlis Peguam di bawah 47 akta sama. Majlis Peguam adalah seperti jemaah menteri kepada Badan Peguam Malaysia dan hanya mempunyai sebanyak 36 orang ahli majlis.

Mengikut seksyen itu, kuasa Badan Peguam Malaysia ini terlalu luas. Contohnya, tujuan Badan Peguam Malaysia seperti dinyatakan di bawah Seksyen 42(1)(a) iaitu “untuk menegakkan keadilan tanpa mengambil kira kepentingan sendiri atau kepentingan ahli-ahlinya, tanpa gentar atau pilih kasih.” Ini terlalu luas. Untuk menegakkan keadilan, tidak didefinisikan setakat mana hadnya memperjuangkan keadilan ini.

Dalam Akta Profesion Undang-undang 1976, tidak ada pun didefinisikan. Jadi Majlis Peguam buat segala-galanya dengan alasan mempertahankan keadilan. Benda ini memang betul tetapi perlu didefinisikan dan hadnya sampai mana.

Tengok Seksyen 42(1)(d), “jika diminta berbuat demikian, untuk menyatakan pendapatnya atas perkara yang melibatkan perundangan dan pentadbiran dan amalan undang-undang.” Apabila diminta, Majlis Peguam perlu menyatakan pandangannya terhadap apa-apa isu berkaitan undang-undang di Malaysia. Perkara ini perlu didefinisikan. Siapa perlu minta, sebab ada perkataan apabila diminta. Adakah menteri atau ahli? Perkara itu tidak ada didefinisikan dalam akta ini. Majlis Peguam tidak peduli pun tentang hal itu tetapi mereka terus komen pasal undang-undang, sedangkan sebenarnya perkara itu salah dan perlu diperbetulkan.

Kita bukan hendak Majlis Peguam jadi prokerajaan sebab kita sudah ada cukup agensi kerajaan untuk memainkan peranan itu. Kita cuma hendak Majlis Peguam menjadi satu badan bebas, profesional, dan berkecuali macam Persatuan Perubatan Malaysia, Institut Akauntan Malaysia, jurutera dan sebagainya. Mereka tidak campur bidang politik.

Contohnya, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dikatakan akan menyebabkan kenaikan harga ubat-ubatan dan memberikan kesan kepada pengamal perubatan di negara ini. Anda pernah dengar kenyataan daripada MMA mendesak kerajaan mengkaji semula FTA demi kebajikan ahli-ahlinya? Tidak ada satu patah perkataan pun.

Kenapa MMA tidak bersuara sedangkan ia melibatkan kebajikan ahlinya? MMA mungkin bersuara tetapi dalam cara berhemah. Bukan buat memorandum atau sidang media. Mungkin, mereka perlahan-lahan pergi berbincang dengan menteri. Itu cara lebih baik dan profesional kerana tidak akan beri kesan kepada orang lain.



5) Nampaknya trend berat sebelah Majlis Peguam ini dilihat cenderung menyebelahi pihak yang menyokong agenda liberal dan cuba menidakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

KHAIRUL AZAM: Sekarang ini, ada 12 orang tonggak dalam Majlis Peguam yang terdiri daripada lima Melayu, empat Cina dan tiga India. Maknanya Melayu majoriti. Liberalisme ini sebenarnya telah membanjiri minda-minda pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil di seluruh dunia.

Contohnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kata hak asasi manusia tidak lekat di beberapa buah negara yang begitu liat menerima konsep kebebasan dan hak sivil ini.

Konsep kebebasan.

Oleh kerana banyak negara liat, maka PBB hendak memasukkan ia sebagai syarat untuk berniaga di peringkat antarabangsa. Maknanya, sebuah negara yang hendak berniaga dengan negara lain perlu mematuhi konsep kebebasan hak asasi manusia ini.

Jadi, Majlis Peguam yang tahu tentang perkara ini, mengambil peluang menekan kerajaan kita sendiri untuk terima konsep kebebasan sivil yang ditetapkan oleh PBB dan Kesatuan Eropah (EU). Sebab itu, kita lihat Majlis Peguam memperjuangkan liberalisme kerana ia merupakan doktrin antarabangsa.

Hak asasi manusia ini merupakan konsep sejagat. Liberalisme itu berputik daripada konsep untuk memilih. Orang lain tidak boleh sibuk, kita yang memilih. Hak memilih ini dikatakan sejak kita lahir sudah ada hak memilih. Sebab itu, ada hak memilih agama sendiri dan jantina sendiri. Benda-benda ini kadang-kadang melanggar lunas-lunas syarak.

Jadi, pada penghujungnya, tidak senang untuk mentadbir negara majmuk ini yang berbeza agama dan bangsa sebab dia buat betul dan kita buat pun betul. Yang penting tentunya ahli politik kerana hendakkan undi. Dia tidak tahu hendak buat macam mana.



6) Kenapa Majlis Peguam boleh memperjuangkan konsep liberalisme sedangkan bilangan peguam Melayu dan Islam tidak kurang 50 peratus daripada keseluruhan peguam di negara ini?

KHAIRUL AZAM: Sejak Ambiga sehingga sekarang, tidak ada orang Melayu menjadi Presiden Majlis Peguam tetapi jawatan itu disandang bergilir-gilir antara orang Cina dan India. Pada masa sama, mereka mempromosikan budaya mereka dalam Majlis Peguam yang mungkin mendatangkan rasa tidak selesa kepada orang Melayu untuk terlibat.

Kedua, mungkin sebab medium bahasa Inggeris yang digunakan walaupun mengikut Perlembagaan, Majlis Peguam sebagai badan berkanun perlu menggunakan bahasa Melayu. Ini secara tidak langsung akan menyisihkan peguam Melayu untuk terlibat dalam aktiviti dan semakin lama mereka semakin jauh.

Saya sudah dua tahun bertanding dalam Majlis Peguam tetapi kalah. Majlis Peguam ini sebenarnya hipokrit dari segi sistem demokrasi. Contohnya, di luar ia kelihatan bersih dan menghentam undi pos tetapi pemilihan Majlis Peguam sendiri 100 peratus menggunakan undi pos. Dalam pemilihan Majlis Peguam juga, calon dinafikan hak memantau proses pengiraan undi. Yang saya tahu, tiba-tiba dapat 700 lebih undi. Entah ya entah tidak. Undi rosak macam mana.

Oleh kerana Majlis Peguam sendiri hipokrit dan tidak telus, ini perlu diperbetulkan dahulu dan selepas itu, baharulah boleh tarik lebih ramai peguam. Sebab, setiap tahun sejak 10 tahun lepas, saya sudah buat kajian, tidak sampai 20 peratus pun peguam yang mengundi dan memulangkan kertas undi pos kepada Majlis Peguam.

Maksudnya, presiden Majlis Peguam hanya dipilih dalam kalangan 20 peratus pengundi. Mereka ini tidak popular pun. Di luar mereka bercakap pasal undi popular tetapi mereka sendiri tidak popular dan hanya dipilih oleh kalangan 20 peratus peguam manakala 80 peratus lagi tidak turun mengundi. Ini trend sejak 10 tahun lalu.



7) Kenapa kita lihat banyak pemimpin politik terutamanya daripada pembangkang yang secara terang menghina mahkamah sama ada di pentas ceramah politik atau media sosial tetapi tidak didakwa?

KHAIRUL AZAM: Tidak ada tindakan sebab persepsi. Serius saya cakap. Kerajaan terlalu berhati-hati kerana hendak menjaga undi Cina serta India dan mereka gunakan peluang ini. Kerajaan kita tidak ada majoriti dua pertiga. Sebab itu, hendak wujudkan suasana ‘feel good’.

Tengok sekarang apa berlaku selepas tiga tahun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan. Orang hendak ISA balik kerana mereka nampak apa berlaku selepas ISA dihapuskan.

Tahniahlah kepada pihak yang berjaya menghapuskan ISA. Apabila mansuhkan ISA, jenayah semakin berleluasa. Sekarang ini, mereka desak Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.

Saya cadangkan Akta Hasutan ini jangan dimansuhkan tetapi diperketatkan lagi. Akta ini perlu dipinda dan dimasukkan unsur-unsur ISA ke dalamnya seperti tahan tanpa bicara.

Saudara Mohd Khairul Azam atau Buzze Adam merupakan Presiden Kelab Warisan Malaysia dan seorang pengamal undang-undang. Sokong beliau dalam kempen usaha untuk kekalkan Akta Hasutan 1948.

#KekalkanAktaHasutan / LINK