Marian Chin bersih bagi amaran, Istana jangan masuk campur dalam pemilihan MB

Pengerusi BERSIH, Marian Chin Abdullah semalam memberi amaran kepada Sultan Selangor sekiranya parti majoriti tidak dibenarkan memilih calonnya sendiri untuk jawatan menteri besar negeri itu, tidak mustahil sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia akan hancur.

Dalam kenyataanya, Marian turut menggesa agar semua pihak yang terlibat dalam kemelut perlantikan calon Menteri Besar Selangor termasuk pihak Istana agar menghormati peraturan yang termaktub bukan sahaja dalam konvensyen Westminster, tetapi juga undang-undang tubuh negeri yang menyatakan bahawa seorang anggota dewan negeri (ADUN) mesti mendapat keyakinan majoriti ADUN lain.

Marian turut memberi peringatan kepada Istana Selangor agar tidak masuk campur secara berlebihan dalam isu perlantikan jawatan menteri besar negeri itu kerana ia boleh menyebabkan masa depan rakyat tidak menentu.

Jelasnya lagi, krisis di Selangor bukan setakat untuk mencari calon terbaik menjadi ketua eksekutif tetapi ia juga berkaitan sama ada demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan boleh terus berfungsi.

Kenyataan amaran yang dibuat ini adalah sebagai tindak balas terhadap penolakkan yang dibuat oleh pihak Istana Selangor baru-baru ini berhubung isu pencalonan isteri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Wan Azizah untuk jawatan menteri besar bagi menggantikan Khalid Ibrahim.