Mengintai Demokrasi Bersih Majlis Peguam

Sejak lima tahun kebelakangan ini, Majlis Peguam sering dilihat menjuarai isu-isu nasional yang melibatkan undang-undang dan hak asasi manusia. Masyarakat sering ternanti-nanti apakah pandangan Majlis Peguam tentang sesuatu isu sebelum masyarakat sivil tersebut ingin memberikan apa-apa pandangan.

Terkini, Majlis Peguam menyuarakan secara terbuka sokongan mereka terhadap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih). Majlis Peguam menyokong kesemua lapan tuntutan Bersih mendesak proses pilihan raya yang bersih dan adil. Bagi menggambarkan komitmen terhadap semua tuntutan Bersih ini, Majlis Peguam menubuhkan satu Jawatankuasa Pemantau di bawah Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam yang terdiri daripada 78 peguam untuk memantau Demonstrasi Bersih yang diadakan pada 28 April lalu.

Selepas itu, Majlis Peguam melengkapkan sokongan mereka terhadap Bersih dengan menganjurkan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 11 Mei lalu bagi membincangkan usul berhubung perkara-perkara yang berbangkit daripada perhimpunan Bersih 3.0.

Usul itu diluluskan dalam EGM itu dan tanpa niat untuk menghina mahkamah, saya memfailkan satu saman sivil terhadap Majlis Peguam dan Badan Peguam berkaitan EGM tersebut. Begitulah hebatnya reputasi Majlis Peguam yang menggunakan seluruh pengaruh dan sumber mereka untuk memastikan proses pilihan raya umum yang bersih, telus dan adil dapat dilaksanakan untuk kebaikan rakyat dan negara.

Oleh sebab gelombang perubahan yang dicetuskan ini, kerajaan dilihat sedikit sebanyak menuruti tuntutan gerakan berkembar Majlis Peguam dan Bersih ini dengan memperkenalkan peti undi lut sinar, menggunakan sistem dakwat kekal, membersihkan senarai daftar pengundi dan beberapa pembaharuan lain bagi penambahbaikan proses pilihan raya.

Namun, adakah ketam di zaman transformasi ini telah mula mengajar anaknya berjalan betul?

Sebenarnya, terdapat perbezaan antara Badan Peguam Malaysia (Malaysian Bar) dan Majlis Peguam (Bar Council). Badan Peguam ditubuhkan di bawah Seksyen 41 Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan wajib dianggotai oleh kesemua 14,902 peguam di Semenanjung Malaysia menurut Seksyen 43 akta tersebut.

Majlis Peguam yang ditubuhkan di bawah Seksyen 47 akta sama, hanya dianggotai oleh 36 ahli Badan Peguam yang dipilih secara pengundian menurut Seksyen 50 dan Seksyen 70(7) akta tersebut. Ini menunjukkan Badan Peguam dan Majlis Peguam adalah dua entiti yang berbeza dan keahlian Badan Peguam adalah lebih ramai berbanding Majlis Peguam. Secara analoginya, Badan Peguam ini adalah seumpama sebuah kereta tanpa pemandu. Majlis Peguam pula bertindak sebagai pemandunya. Destinasi kereta tersebut telah ditetapkan di dalam Akta Profesion Undang-Undang 1976 namun bergantunglah kepada pemandu kereta itu sama ada untuk mengikut arahan destinasi ataupun menyimpang dari destinasi yang telah ditetapkan dalam akta.

Menurut Seksyen 64(1) Akta Profesion Undang-Undang 1976, mesyuarat agung tahunan (AGM) Badan Peguam hendaklah diadakan oleh Majlis Peguam sebelum April pada setiap tahun. Bermaksud sebelum April 2013 nanti, akan diadakan AGM Badan Peguam kali ke-67. Selama 67 tahun, tidak pernah ada sebarang diskusi terbuka diadakan oleh mana-mana pihak membincangkan tentang proses demokrasi yang diamalkan oleh Majlis Peguam.

Saya mengambil peluang pada tahun ini untuk menyertai pesta demokrasi Majlis Peguam yang pada ketika rencana ini ditulis, telah mengetahui keputusannya iaitu saya tidak berjaya memenangi salah satu daripada 12 kerusi anggota Majlis Peguam. Tujuan penulisan ini bukanlah untuk menunjukkan rasa kecewa kerana tidak terpilih. Ini kerana saya berpeluang mencuba lagi pada tahun hadapan. Tetapi tujuan penulisan ini adalah untuk membuka mata rakyat agar melihat sendiri proses demokrasi yang diamalkan oleh Majlis Peguam untuk dibandingkan dengan proses pilihan raya umum (PRU) negara kita yang dianggap oleh Majlis Peguam sebagai “kotor”.

Pertamanya, berkaitan daftar pengundi. Majlis Peguam bersama Bersih dalam tuntutan mereka menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan senarai daftar pengundi yang dikatakan masih menyenaraikan pengundi yang telah meninggal dunia atau alamat pengundi yang tidak dikemas kini dan wujud pengundi hantu. Bagaimana pula dengan senarai daftar pengundi Majlis Peguam?

Setakat tarikh rencana ini ditulis, merujuk kepada statistik di laman webwww.malaysianbar.org, terdapat sebanyak 14,899 peguam berdaftar di Semenanjung Malaysia. Dan apabila saya merujuk kepada keputusan rasmi pemilihan Majlis Peguam, sebanyak 14,902 kertas undi telah dikeluarkan. Angka ini menunjukkan jumlah kertas undi yang dikeluarkan adalah tidak sama dengan jumlah peguam berdaftar.

Saya juga menerima laporan, banyak kalangan peguam yang tidak menerima kertas undi mereka. Sebahagiannya telah berpindah firma guaman tetapi kertas undi mereka dihantar ke firma guaman lama. Kemungkinan juga wujud pengundi hantu dalam pemilihan Majlis Peguam kerana kita tidak akan tahu siapa yang mengundi.

Ini menunjukkan bahawa Daftar Pengundi Majlis Peguam juga tidak bersih dan tidak dikemas kini. Tetapi mereka beria-ia mendesak agar SPR bekerja keras siang malam untuk membersihkan daftar pengundi yang jumlahnya jutaan orang.

Kedua, berkaitan pengundian secara Undi Pos, Majlis Peguam dan Bersih sering mempersoalkan ketelusan proses pengundian secara pos. Pada suatu ketika, mereka menentang proses undi pos ini yang menurut mereka hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak.

Mereka juga meroyan, menyatakan proses undi pos ini tidak telus kerana wakil-wakil parti bertanding tidak dibenarkan memantau. Jadi atas alasan-alasan ini, mereka mendesak SPR mereformasikan sistem undi pos sebagai salah satu tuntutan Bersih.

Namun begitu, ramai yang masih tidak tahu sebenarnya proses mengundi jawatankuasa Majlis Peguam juga dibuat secara 100 peratus undi pos. Bermula dari 1 November lalu, kertas-kertas undi diposkan kepada ‘semua’ peguam dan kertas undi hendaklah dikembalikan kepada Majlis Peguam pada atau sebelum pukul 5.30 petang, 30 November 2012.

Saya selaku calon pemilihan tersebut telah menulis surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Peguam untuk bertanya berkaitan proses pengundian ini dan sama ada saya atau wakil saya dibenarkan memantau proses pengiraan undi. Malangnya, Presiden Majlis Peguam melalui surat bertarikh 26 November 2012, membalas surat saya dengan jawapan”…disebabkan perihal logistik dan keselamatan, proses pengiraan tidak dibuka kepada pemerhati-pemerhati.”

Melihatkan jawapan tersebut, saya tersenyum kerana Majlis Peguam menuntut ketelusan SPR dalam proses pengiraan undi pos, malangnya mereka sendiri tidak memberikan ketelusan untuk saya selaku calon boleh memantau sendiri proses pengiraan undi tersebut.

Oleh sebab saya telah dinafikan hak demokrasi saya untuk memantau proses pengiraan undi, saya tidak tahu siapa yang mengira undi tersebut. Saya juga tidak tahu bagaimana caranya Majlis Peguam menganggap sesuatu undi itu sebagai undi rosak atau adakah kertas undi masih diterima selepas 30 November lalu.

Yang saya tahu hanyalah keputusan dari laman web www.malaysianbar.org iaitu saya menerima 872 “undi” daripada 3,442 “undi”. Betul atau tidak kiraan mereka, saya pun tidak pasti. Namun persoalannya, sekiranya benar Majlis Peguam adalah pejuang di barisan hadapan berkaitan hak asasi dan hak demokrasi di negara kita, mengapakah Majlis Peguam tidak mencadangkan pindaan untuk mereformasikan Seksyen 49 dan 50 akta berkenaan?

Jangan pula dihujahkan akta tersebut sukar dipinda kerana pada 18 April 2012, Parlimen telah membahas dan meluluskan Rang Undang-Undang Pindaan kepada Akta Profesion Undang-Undang 1976 bagi membolehkan firma guaman asing beroperasi di Malaysia.

Majlis Peguam adalah juara yang mendesak kepada pindaan ini dan mengapa mereka tidak boleh turut mendesak reformasi untuk menambah baik sistem demokrasi dalam pemilihan Majlis Peguam?

Ditulis oleh MOHD. KHAIRUL AZAM ABDUL AZIZ,
Peguam bela & Peguam cara.