MTEN dedah 30% rakyat Malaysia bergaji bawah 2K

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Nizam Mahshar menyokong saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kepada sektor korporat bahawa syarikat-syarikat mestilah menyenaraikan jantina, kumpulan etnik dan umur yang terbabit dalam organisasi masing-masing.

“Kami berpendapat seruan Perdana Menteri ini tepat pada masanya memandangkan persekitaran sosio-ekonomi semasa Malaysia hari ini.”

“Kami setuju dengan cadangan Perdana Menteri agar syarikat-syarikat korporat di Malaysia mendedahkan nisbah gaji ketua eksekutif dengan gaji pekerja biasa dalam syarikat,” katanya.

Menurut Nizam, Institut Drucker – dinamakan sempena Peter Drucker yang dianggap sebagai bapa pengurusan moden – menegaskan bahawa nisbah purata yang wajar di antara Ketua Pegawai Eksekutif dan pekerja adalah tidak melebihi 20-1.

“Kami percaya bahawa pelabur juga harus mengambil kira perkara ini, agar syarikat lebih telus mengenai nisbah ini,” katanya.

MTEM juga ingin menekankan fakta bahawa pada tahun 2013 menurut data gaji Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hampir 4 juta daripada 13.5 juta pekerja Malaysia mendapat gaji kurang daripada RM 2,000.

“Dalam erti kata lain, hampir 30% daripada pekerja-pekerja Malaysia hidup dengan gaji di bawah RM2,000 sebulan.

“Kami juga meminta Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) memantau berapa banyakkah syarikat-syarikat tersenarai di Malaysia yang membayar pekerja mereka pada tahap gaji yang paling rendah,” katanya.

Oleh demikian, MTEM menentang ketidaksamaan pendapatan di antara kaum dan juga di kalangan kaum, dan percaya dengan ketelusan syarikat-syarikat negara ini untuk memastikan pengagihan kekayaan yang saksama di kalangan rakyat.