PKR panik cubaan terakhir untuk mengadap Sultan

Dalam kehangatan pelbagai berita tersebar mengenai pelantikan menteri besar Selangor baharu yang akan dibuat Selasa ini, PKR mengambil keputusan memohon mengadap Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon pilihan mereka.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail malam ini, beliau berkata keputusan itu dibuat hasil mesyuarat Biro Politik PKR yang dihadiri semua pimpinan kanan hari ini.

“PKR mengambil pendirian kedudukan sokongan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor seperti yang ternyata sebelumnya menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berubah.

“Oleh demikian, PKR merafak sembah memohon limpah perkenan Tuanku untuk mengadap bagi mendapatkan nasihat dan ihsan Tuanku dalam keadaan sokongan majoriti adalah jelas dan tidak berubah,” katanya dalam kenyataan itu.

PKR sebelum ini sudah memohon menghadap sultan tetapi tidak mendapat jawapan positif.

Perkembangan terbaru ini menguatkan spekulasi bahawa Azizah bukanlah pilihan sultan untuk mengangkat sumpah pada istiadat Selasa depan.

Malah, harian berbahasa Inggeris New Straits Times hari ini memetik sumber istana sebagai berkata, menteri besar baru “bukan seorang perempuan”.

Sebelum ini, petunjuk-petunjuk sedia ada lebih memihak kepada timbalannya Azmin Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad.

Sementara itu, istana Selangor akan mengumumkan nama menteri besar Selangor yang baharu selewat-lewatnya Isnin, secara sebelum istiadat mengangkat sumpah.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.