Politik Islam tidak difahami anak muda

  1. Generasi anak muda hari ini kalau diminta bercakap secara teori dan ideanya maka mereka memang hebat. Lepak diskusi, perbentangan dan seminar, wacana ilmu semestinya mereka mampu.

    Namun praktikalnya mereka akan gagal dan hancur menjadi mangsa. Mereka jarang ada disiplin, kurang ketaatan dan kepatuhan dalam mendengar arahan serta gopoh dan lalai dalam membuat kerja.
    Pendek kata, bangun subuh pun lewat.

  2. Politik adalah suatu bidang tentang kekuasaan dan pentadbiran manusia yang mempunyai seni atau kemahirannya tersendiri.
    Kala memperkatakan tentang politik Islam, maka seni atau kemahiran itu akan bertambah setingkat lagi tahapnya dengan membicarakan soal hak Islam, maqasid dan isu umatNya.

    Itulah yang tidak difahami oleh orang ramai apabila Presiden PAS atau Syeikh Abd Hadi Awang dan majlis syura’nya yang dianggotai oleh ramai agamawan membuat sesuatu keputusan.

    Ianya bukan sahaja didasari oleh faktor politik yang Anwar Ibrahim pun pandai tetapi juga oleh faktor agama dan maslahat syariah yang Anwar Ibrahim mungkin jarang pandang.

  3. Setiap keputusan yang diambil oleh para pemimpin politik akan boleh mempengaruhi ribuan atau jutaan nyawa dan kehidupan orang ramai. Justeru bagi yang beragama dan bertaqwa, sudah tentu ianya suatu yang besar amanahnya, memerlukan pertimbangan yang sulit dan berhati-hati.

    Sudah tentu anak muda yang bab nak kahwin dan soal nak memilih calon pun tak lepas lagi amatlah tidak wajar untuk menyampuk tentangnya.

  4. Itu belum lagi melibatkan percaturan politik antarabangsa dan dunia Islam yang menyaksikan Iran-Iraq dikuasai Syiah, Arab Saudi dan negara teluk menjadi keldai Amerika, Syiria menjadi medan perang dan kini Yaman diserang pemberontak Syiah.

    Ianya bukan bermula dengan kapal terbang Iran mengirimkan bom dan senjata api kepada rakyat Yaman lalu mereka pun menjadi Syiah dan memberontak serta-merta.

    Ia bermula dengan diskusi dan wacana, pertukaran pelajar, lawatan ke Qom, keluarga syiah yang berkembang, hak minoriti, kewujudan komuniti Syiah, ahli politik Syiah yang berjaya menduduki jawatan kerajaan dan politik kemudian pengaruh dan kuasa berkembang, sehinggalah berakhir dengan pertumpahan darah apabila sudah memiliki kekuatan.

    Memang Syiah sudah ada lama di Yaman tetapi itu Zaidiyyah bukan Imamiyah yang berwala’ kepada Iran.

    Hal yang sama berlaku di Iraq tetapi dibanteras oleh regim Saddam secara kekerasan sehingga beliau dijatuhkan oleh USA dan menaikkan puak Syiah sebagai penguasa Iraq.

    Amerika bukan bodoh dan tidak tahu bahawa krisis sunni-syiah akan berlaku tetapi itulah politik dan dunia sudah lama menyedarinya.

  5. Di negara kita, hak kebebasan dan sama-rata bukanlah segala-galanya. Bagi seorang Muslim, Islam mesti no.1, walaupun harganya ialah dituduh sebagai pelampau atau ultra-Melayu.

    Cukuplah Singapura menjadi pengajaran, umat Islam merempat di atas tanah pusaka. Kemodenan memang membanggakan, tapi gaya hidup? Kemajuan akhlak dan peribadi? Boleh gila jika terlalu materialisma dan ‘kiasu’

  6. Seorang anak muda berseluar jeans koyak, bercakap Inggeris dan lulusan ijazah dari luar negara memang tidak akan peduli soal ketuanan bangsa dan agama kala sedang lepak dan berbual di Bangsar.

    Peduli apa dia tentang bangsa mana yang memonopoli perniagaan komoditi dan industri elektronik dalam negara. Kerana yang beri dia duit ialah ibubapanya yang kaya. Peduli apa dia tentang universiti awam atau sekolah sistem vernakular kerana dahulu dia mengaji di London.

    Yang dia peduli ialah kenapa hidupnya tidak bebas, itu saja tujuan hawa nafsunya agar dapat jadi seperti binatang dan tiada siapa yang dapat menegur dirinya kerana kebebasan untuk membuat apa yang dia suka.

  7. Tetapi ada anak muda yang bersemangat kiri, jiwa pemberontak dan hidupnya susah. Selalunya jenis ini yang menjadi mangsa keadaan. Kena raba dengan pakwe, terus benci lelaki dan jadi feminist, kena maki dengan ustaz terus benci agamawan dan Islamis, bermasalah ikut peraturan dan disiplin buat alasan menyekat kebebasan berfikir.


Marahkan nyamuk, bakar kelambu, akhlak tiada, perangai macam hantu.

Golongan ini kalau dibarat, teman mereka disamping buku ialah ganja. Kegiatan mereka berpaksikan keadilan dan hak sosial yang mereka percaya dan cipta sendiri. Mereka melawan penguasa, agamawan, orang kaya atau Tuan tanah di atas nama hak golongan yang tertindas, menyangka mereka hero tetapi selalunya merekalah perusuh.

Perasan mereka adalah pemikir, pengkaji dan pencari kebenaran tetapi jarang pula sujud pada Tuhan. Belum lagi bab biadap dan angkuh berhujah dengan akal melawan agama.

Alquran tak tahu, sunnah tak mengerti hanya baca Voltaire dan Socrates yang menunjukkan mereka kononnya ahli fikir. Jangankan negara, disuruh mentadbir diri sendiri pun mereka tak lepas lagi.

Justeru persiapkanlah diri wahai anak muda dengan ilmu dan taqwa agar bersedia kala datang kewajipan dan bebanan yang tidak disangka-sangka.

Kejayaan masa depan ditanganmu dan kehancurannya juga mungkin akibat kesalahanmu!

Oleh Ustaz Emran Ahmad : LINK