Rafizi Ramli isytihar perang habis-habisan terhadap akta hasutan

“Nama saya Rafizi Ramli, saya akan tumpukan sepenuh usaha dan tenaga bersama rakyat untuk hapuskan Akta Hasutan.”

Semalam, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, demonstrasi akan dianjurkan dengan kerjasama badan pelajar dan beberapa kumpulan lain bagi menuntut kerajaan supaya memansuhkan Akta Hasutan, menggesa pihak berkuasa untuk menggugurkan semua pertuduhan dibawah akta berkenaan dan menghentikan sebarang usaha untuk memperkenalkan larangan sama dalam mana-mana akta baharu dengan serta-merta.

Menurut SUHAKAM, Akta Hasutan dikatakan satu sekatan kepada kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat.

Tetapi Naib Presiden PKR baharu ini adalah seorang yang hipokrit. Kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat di akaun Facebook nya sendiri disekat. Sudah ramai yang di’block’ dan komen-komen yang keras atau pedas dipadam, ‘ditanam’ begitu sahaja.

Selain itu, di dalam PR sendiri terdapat arahan ‘gag order’ atau arahan tutup mulut apabila berlakunya beberapa krisis tertentu seperti:

  1. Pada 8 Ogos 2014, Abdul Rani Osman, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor menyatakan pihak pimpinan PR telah mengeluarkan arahan ‘tutup mulut’ kepada mereka dalam isu kemelut jawatan Menteri Besar Selangor.

  2. Pada 20 November 2013, Lim Guan Eng mengeluarkan arahan ‘tutup mulut’ kepada pemimpin Pakatan Rakyat (PR) negeri berkaitan isu ketidakpuasan hati PAS terhadap campur tangan politik parti sekutunya.

  3. Pada 13 September 2013, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution mengingatkan arahan ‘tutup mulu’t ekoran percakaran PKR-DAP di Johor dalam rundingan kerusi.

  4. Pada 26 November 2011, kesemua pimpinan parti Pakatan Rakyat diarahkan ‘menutup mulut’ berhubung sebarang kenyataan isu pelaksanaan hukum hudud yang mencetuskan perbalahan di antara DAP dan PAS.


Arahan tutup mulut ini jika dilangar boleh dihukum buang parti. Maka segala rahsia keburukan boleh disorok sesama mereka. Oleh itu, di mana ‘kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat’ yang didukung hebat kononnya oleh Rafizi Ramli dan Pakatan Rakyat selama ini?

Benarkah Akta Hasutan 1948 yang akan dimansuhkan sudah tidak lagi relevan?

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata beliau melihat Akta Hasutan 1948 masih relevan dan diperlukan pada masa ini memandangkan masih ada pihak yang mempersoalkan isu-isu sensitif sesuatu kaum.

Katanya untuk membatal atau memansuhkan sesuatu undang-undang, ia perlu melihat ‘darjah kerelevanan’ sesuatu akta itu dengan keadaan semasa.

“Macam Akta Hasutan, masih ada lagi orang yang melakukan hasutan, sudah tentu ia masih relevan. Jika darjah kerelevanan itu menurun, orang tidak menghasut dan hidup aman damai, maka bolehlah dihapuskan.

“Pada saya Akta Hasutan masih diperlukan dan perlu dikaji semula oleh kerajaan untuk mengelakkan mereka yang menghasut ini boleh diambil tindakan ke atas mereka,” katanya lagi.

Bagi Ahmad Atory, Akta Hasutan 1948 lebih kepada pelindung kepada perkara-perkara sensitif seperti hak sesuatu kaum yang cuba dibangkitkan mana-mana pihak, manakala undang-undang baharu yang cuba dilaksanakan kelak lebih bersifat mementingkan kebebasan bersuara.

“Melalui akta baharu ini, yang saya perhatikan ialah sesiapa sahaja meskipun berbeza ideologi politik bebas memberi pandangan dan mengkritik dalam apa jua isu dan tidak akan diambil tindakan.

“Soalan saya, jika seseorang itu mempromosikan ideologi komunis, apakah boleh akta baharu ini mengambil tindakan? Seperti yang kita tahu, kalau di bawah Akta Hasutan, sudah tentu pihak ini tidak terlepas,” katanya.

Akta Hasutan hanya ditakuti oleh kumpulan penghasut sahaja. Dahulu, mereka berjaya bubar dan desak ISA dihapuskan dan setelah dihapuskan mereka tunjuk taring dalam bidang guaman kerana mereka pakar perundangan. Pihak kerajaan tewas dalam hal ini.

Sambil itu mereka jugalah juara saman, mereka saman siapa sahaja yang berani londehkan kejahatan mereka. Semua akan disaman setiap kali mereka tersepit.

Orang biasa tidak takut akan akta ini. Mereka tidak menghasut. Hanya penghasut sahaja yang takut.

Kekalkan Akta Hasutan 1948, kembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat.