Safwan Anang akan terus hasut anak-anak muda benci akta hasutan

Pada pendapat kami, lebih baik ‘adik-adik’ semua berkempen, ‘menghasut’ pelajar-pelajar universiti di Malaysia ini supaya belajar bersungguh-sungguh dan mendapat pencapaian yang cemerlang seterusnya melibatkan diri dalam pembangunan negara di samping mampu mengubah nasib keluarga masing-masing.

Jangan pula apabila melanggar undang-undang dan disabitkan bersalah, merayu minta dikurangkan hukuman kerana mempunyai tanggungan dan bergaji kecil.

Saiful Anang semalam mengumumkan pelancaran kempen kesedaran mendidik orang awam tentang Akta Hasutan 1948 yang menjadi perbalahan, digunakan akhir-akhir ini bagi menyekat penentangan.

Pada siri pertamanya, Gerakan Anak Muda Hapuskan Akta Hasutan (Hasut), terdiri daripada 11 pertubuhan pelajar, akan menghebahkan kempen itu di jalanan sekitar Kuala Lumpur pada Hari Malaysia minggu depan.

Jurucakap Hasut Muhammad Safwan Anang, yang didapati bersalah mengikut akta itu dan dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen minggu lepas, berkata insiatif pertama itu dinamakan ‘Jalan-jalan hasut.’

“Kami akan guna bas, keretapi dan komuter pada hari itu (16 September) untuk mengedarkan risalah berkenaan Akta Hasutan. Ini cara kami mendidik orang awam,” katanya.

Safwan berkata, akta itu digunakan dengan meluas terhadap mereka yang dengan lantang mengkritik kerajaan.

“Mereka yang didakwa bukan sahaja ahli politik, tetapi juga aktivis dan ahli akademik. Sebaliknya, terdapat kes yang menyentuh sensitiviti bangsa lain dan kenyataan yang mencetus kebencian, tetapi ia tidak diambil tindakan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Sebab inilah sudah sampai masanya kita adakan kempen mendidik rakyat, terutamanya anak muda, tentang akta ketinggalan zaman ini,” katanya.

Adam yang turut hadir pada majlis pelancaran itu berkata pergerakan itu tidak bertujuan melibatkan diri dalam sesuatu yang tidak baik, tetapi hanya mahu mendidik orang ramai.

“Tentang nama Hasut, ia hanya satu perkataan saja,” katanya.